Denmark dahului senarai 5 negara paling baik untuk wanita - kajian

Faiq Chong
Mac 9, 2018 16:06 MYT
Kedudukan tiga teratas dalam tinjauan ini, yang dikuasai negara Scandinavia, adalah atas sebab kerajaannya yang menekankan kepada dasar-dasar kesaksamaan gender dan mementingkan kesejahteraan sosial. Gambar hiasan.
HARI Wanita Sedunia yang disambut setiap tahun pada 8 Mac adalah bagi memperingati gerakan memperjuangkan hak wanita yang dicadangkan sewaktu Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa pada tahun 1910.
Sehubungan itu, US News & World Report telah menjalankan satu tinjauan ke atas lebih 9,000 wanita untuk mendapatkan pandangan mereka dalam menentukan 80 negara di dunia yang terbaik bagi wanita untuk menetap serta menjalani kehidupan.
Menurut laporan itu, Denmark mengatasi kedudukan Sweden sebagai negara terbaik di dunia untuk wanita bermastautin bagi tahun 2018.
Dapatan itu diperolehi berdasarkan keputusan tinjauan dari sudut jagaan hak asasi manusia, kesaksamaan gender, kesamarataan pendapatan, pembangunan serta keselamatan sosial yang dinilai dari 80 negara di dunia.
Responden dalam tinjauan ini terdiri daripada kalangan pakar penyelidik, hartawan serta masyarakat umum.
Berikut senarai lima negara terbaik untuk para wanita pada tahun 2018:
5. Finland
Negara ini adalah yang pertama memberikan hak kepada wanita untuk mengundi dan dipilih di Parlimen. Selain itu, Finland adalah salah satu negara yang menyediakan persekitaran yang terbaik untuk golongan wanita.
4. Belanda
Belanda telah berjaya merapatkan jurang antara gender dalam aspek kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik serta turut memberikan pelbagai manfaat kepada wanita, contohnya dengan menyediakan jururawat bersalin kepada kaum ibu.
3.Norway
Dalam laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Norway berada pada kedudukan ketiga daripada 144 negara dalam Global Gender Gap Report tahun 2016.
Ini berdasarkan polisi cuti bersalin di negara berkenaan yang mana ibu yang melahirkan boleh mengambil cuti selama 35 minggu dengan gaji penuh atau 45 minggu dengan gaji 80 peratus.
Oleh itu, Norway merupakan salah satu negara yang memiliki kesamarataan gender tertinggi di dunia.
2. Sweden
Sweden merupakan negara yang progresif dari aspek kesaksamaan gender menurut laporan yang dikeluarkan oleh firma penyelidikan pemasaran dari United Kingdom YouGov. Namun, pada tahun ini Sweden jatuh ke kedudukan kedua di belakang jirannya, Denmark.
1. Denmark
Denmark menguasai kedudukan negara terbaik untuk wanita berdasarkan penilaian tertinggi untuk hak asasi manusia dan kesaksamaan gender.
Ia berkaitan dasar kerajaan yang menegakkan hak tersebut dengan menawarkan antara lain, cuti pelepasan ibu bapa yang fleksibel dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).
Kedudukan tiga teratas dalam tinjauan ini, yang dikuasai negara Scandinavia, adalah atas sebab kerajaannya yang menekankan kepada dasar-dasar kesaksamaan gender dan mementingkan kesejahteraan sosial, tidak kira daripada golongan kanak-kanak hingga kepada golongan emas.
Pasti ada yang tertanya-tanya, di manakah kedudukan negara kita? Malaysia berada pada tempat ke-48 dalam kedudukan negara terbaik untuk wanita.
#Belanda #Denmark #Finland #hari wanita sedunia #Norway #Sweden #wanita
;