Demi popia sambal, ramai beratur awal sebelum gerai dibuka

Dewi Nur Harasha Alias
April 30, 2022 10:23 MYT
Gerai Popia Sambal Ketagih yang dijual Nativah Roslan di pekan Tasek Gelugor menjadi sebutan ramai.
TASEK GELUGOR: Belum sempat goreng, pelanggan sudah beratur. Itulah senario yang lazimnya dapat dilihat di depan gerai Popia Sambal Ketagih yang dijual Nativah Roslan, 25, di pekan Tasek Gelugor.
Sepanjang Ramadan, pelanggan akan beratur seawal jam 3.30 petang walaupun ketika itu Nativah baru menyediakan peralatan untuk menggoreng popia.
"Memang setiap hari keadaan di gerai begini. Pelanggan akan beratur walaupun mereka tahu popia belum digoreng.
"Mungkin mereka mahu membeli popia yang masih panas berbanding popia yang sudah sejuk," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Menurut Nativah, dia menggunakan bahan biasa untuk membuat inti popia iaitu gobis dan karot tetapi sambal yang menyaluti popia adalah resipi sendiri.
"Mungkin pelanggan tertarik dengan popia bersalut sambal menyebabkan ada yang 'ketagih' dan membeli berulang kali," katanya.
Proses menggoreng popia dilakukan di gerai sambil dibantu ahli keluarga dan beberapa pekerja.
Hampir 3,000 biji popia dijual sehari dengan harga RM3.50 bagi lima biji.
Selain popia, Nativah juga membuat pelbagai jenis kek dan dihantar kepada pelanggan (COD) di sekitar Tasek Gelugor.
#Popia Sambal Ketagih #gerai popia #tasek gelugor #Nativah Roslan