Demi kesihatan, jangan sayang nak tukar bantal baharu
Impiana
Mei 22, 2022 13:00 MYT
Mei 22, 2022 13:00 MYT
SEKADAR bertanya, bila kali terakhir anda tukar bantal lama dengan yang baharu?
Tahukah anda, bantal pun ada tempoh luput?
Kebiasaannya, tempoh luput bantal adalah dua bulan. Namun ia juga bergantung kepada beberapa ciri-ciri fizikal yang lain.
Kenapa perlu tukar bantal?
Anda tak sedar. Sebenarnya, bantal antara penyumbang utama kepada kualiti kesihatan anda.
Memandangkan ia digunakan setiap hari, ia harus sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan bebas kotoran.
Ia penting dalam memastikan anda mendapat tidur yang berkualiti dan selesa.
Oleh itu, jika anda menukar bantal secara rutin ia berupaya memastikan bantal anda sentiasa bersih dan terhindar dari menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh menjadi penyebab kepada masalah kesihatan kelak.
Selain bersih, postur bantal juga penting. Jika fizikal bentuk bandal mula berubah, ia akan memberi tekanan kepada tubuh.
Secara tidak langsung, badan anda jadi tidak selesa dan bukan sahaja menjadi punca kepada gangguan kesihatan, malah kualiti tidur.
Selain itu juga, jika bantal anda mempunyai lima faktor ni, ia harus diganti walaupun baru sahaja dibeli:
1. Setiap kali bila bangun tidur anda mengalami sakit leher, kekejangan otot di bahagian bahu dan mengalami kesukaran tidur lena kerana sakit kepala.
2. Tiba-tiba terdapat alahan yang berulang-ulang seperti mata berair, hidung dan tekak gatal, ruam panas dan sebagainya.
3. Jika warna bantal yang putih bertukar menjadi kekuningan atau berbintik hitam di permukaannya akibat kesan peluh, air liur, habuk dan sebagainya.
4. Apabila bentuk bantal berubah dan bau hapak yang tidak hilang walaupun selepas mencucinya.
5. Jika tiba-tiba muka, leher atau badan anda naik jerawat padahal sebelum ini anda jarang atau tidak pernah mengalami masalah jerawat.
*Artikel asal di Impiana
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !