Demi cucu, nenek sanggup bawa limau, ikan, ayam, dalam beg bagasi

Ili Hadri Khalil
Mac 5, 2018 23:00 MYT
Beg bagasi Zaharah, 72 tahun sarat dengan makanan untuk menjamu cucu kesayangan di ibu kota. Instagram/Syfqrzkk
Seorang pemuda, Muhammad Shafiq, 26 tahun terkejut apabila nenek kesayangannya yang datang dari Sabah tidak membawa walaupun sehelaipun pakaian di dalam beg bagasi sebaliknya dipenuhi makanan untuk cucu kesayangan yang menetap di Kuala Lumpur.
Beg bagasi yang dibawa Zaharah, 72 tahun yang berasal dari Kota Kinabalu itu penuh berisi buah limau, ikan, ayam, ubi kayu, karipap, popia dan lain-lain bertujuan untuk menjamu cucunya.
Zaharah turut membawa sama barangan dapur seperti ikan dan sayuran untuk memasak makanan kegemaran cucunya iaitu taucu ikan.
Shafiq menjemput neneknya dari Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sewaktu kejadian lucu itu terjadi.
“Dia datang dengan beg besar, saya ingatkan dalam beg bagasi tersebut berisi baju kerana nenek mahu tinggal lama di Kuala Lumpur,” kata Syafiq.
“Sebenarnya saya ada pesan untuk bawa limau, buah kegemaran saya. Ingatkan dia bawa sikit, rupanya separuh beg bagasi penuh dengan limau,” jelas Syafiq kepada Astro AWANI.
“Kita beli baju baru,” ringkas jawapan Zaharah, 72 tahun nenek kepada Syafiq selepas disoal “mana pakaian ?”
Syafiq yang hanya berniat untuk berkongsi telatah lucu neneknya bersama saudara-mara yang lain di media sosial tidak menyangka perkara tersebut menarik perhatian ramai.
Syafiq merupakan cucu kesayangan Zaharah dan sangat manja sejak berusia dua tahun lagi.
“Lagipun saya memang manja sikit dengan nenek, sebab dia yang menjaga saya dari kecil hingga dewasa,” kata Syafiq.
#cucu kesayangan #makanan kegemaran cucu #sayang nenek
;