Demi anak-anak Autisme, SOP baharu akan diperkenal
Khairunnisa Kasnoon
Februari 26, 2019 06:46 MYT
Februari 26, 2019 06:46 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperkenalkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu pada April, berhubung usaha menangani kanak-kanak didiagnos autisme.
Menurut Timbalan Menteri Hannah Yeoh, SOP itu bertujuan memastikan nasib anak-anak autisme di negara ini terbela.
Katanya, kanak-kanak yang didiagnos autisme memerlukan layanan yang istimewa walaupun secara fizikalnya mereka nampak normal.
Namun, tidak semua masyarakat peka dengan perkara berkenaan.
“Disebabkan kekurangan kesedaran mengenai anak-anak istimewa ini, isu berkaitan anak-anak autisme ini tidak ditangani dengan sewajarnya," katanya.
Beliau merujuk kepada satu insiden pada September 2018, di mana seorang lelaki autistik didakwa meraba seorang wanita muda dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya.
"Oleh kerana itu, kementerian ini telah menjawab isu berkenaan di Parlimen, di mana pihaknya bersama PDRM, NASOM dan beberapa NGO lain akan memperkenalkan satu SOP baru.
"Ia terutamanya untuk melatih anggota polis dan barisan hadapan, serta penjawat awam, mengenai kesedaran autisme,” ujar Yeoh ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Beli Belah Pertama Mesra Autisme di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Yeoh yang menyambut baik inisiatif pusat beli belah berkenaan berharap lebih banyak premis mengambil langkah sama dalam usaha memupuk kesedaran ramai mengenai autisme.
“Setiap tahun, jumlah kanak-kanak yang didiagnos autisme semakin bertambah dan ia amat penting untuk semua pihak mengambil bahagian dalam memupuk kesedaran ini.
"Penting untuk kita faham, betapa sukarnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang didiagnos autisme berdepan cabaran, khususnya di tempat umum," katanya lagi.
Ia bukan sahaja memberi kesedaran kepada diri sendiri, tetapi juga kepada anak-anak agar mereka juga faham dan tahu bagaimana untuk memberi reaksi apabila berdepan dengan situasi yang tidak dijangka.
Antara fasiliti yang ditawarkan Sunway Putra Mall termasuklah Autisme Friendly Shopping Day iaitu keutamaan membeli belah untuk anak-anak dan keluarga autisme, bilik untuk bertenang, merendahkan volume muzik bila perlu dan memalapkan lampu bila perlu, di ruang khas di restoran.