Deko Raya: Gabungan nilai Islam dan Melayu meriahkan Syawal
Madiha Abdullah
April 9, 2024 17:05 MYT
April 9, 2024 17:05 MYT
SHAH ALAM: Tidak sukar meletakkan identiti Hari Raya Aidilfitri dalam corak dekorasi hiasan dalaman sesebuah ruang.
Bagi pengasas jenama yang tidak asing lagi untuk industri hiasan dalaman, Reka Teemor, Faiz Sabari dan isteri, Rozana Mumtaz, mereka sependapat bahawa elemen agama dan budaya tidak boleh dipisahkan dalam menentukan identiti dekorasi Aidilfitri.
"Kediaman kami sendiri menerapkan seni bina Melayu yang lama dicampur dengan seni bina kolonial. Kami mahu membawa tradisi Melayu lama dan moden dikombinasikan.
"Sebagai contoh, kalau kita mempunyai barang tembaga yang kita warisi daripada nenek moyang, letakkannya di tempat khas. Atau mungkin songket, seni tekad atau pinggan mangkuk lama juga jadi material dalam dekorasi rumah kita," kata Faiz ketika ditemui di kediaman mereka, baru-baru ini.
Jelas Faiz, elemen luar seperti Arab dan kolonial boleh diadun sebagai tanda apresiasi, namun dalam masa yang sama tidak melupakan elemen tradisi yang harus sentiasa dijunjung merentasi zaman.
Tambahnya, hari raya merupakan salah satu platform terbaik bagi mempersembahkan keunikan gabungan budaya Melayu dan Islam serta peranannya dalam membentuk budaya komuniti di Malaysia.
Menyentuh mengenai perbelanjaan untuk mendekorasi, Faiz dan Rozana menegaskan, tidak timbul isu mahal kerana syarat menghias kediaman atau ruang bukanlah terletak pada barangan yang mahal dan mewah, sebaliknya terletak pada kreativiti.
Kata mereka, kreativiti boleh menjadi kunci bagi mereka yang mahu berjimat tetapi dalam masa yang sama, masih mahu meraikan Aidilfitri dengan hiasan rumah yang baharu dan cantik.
"Kalau nak bunga-bungaan segar, boleh tanam sendiri. Kita ada bunga kemboja, mawar, daun-daun hijau trend, anak muda sekarang suka. Jadi dari segi itu boleh berjimat, tak payah beli.
"Kalau ada sampin atau kain batik lama, boleh jadi alas meja contohnya. Banyak sebenarnya cara untuk hias rumah kita tanpa berbelanja banyak," ujar Faiz.
"Hari raya mengenai ukhwah, meraikan tetamu yang datang. Kalau tak banyak (barangan baharu), asalkan nampak lain daripada kebiasaan sudah cukup.
"Kalau sebelum ini rumah tak kemas, semasa hari raya kita kemas. Kalau sebelum ini tak ada bunga, ambil saja bunga dan daun hijau yang ada di luar rumah, buat gubahan.
"Yang penting kita tunjukkan usaha untuk meraikan tetamu yang datang," kata Rozana pula.
Selain itu, pasangan ini juga menekankan beberapa elemen seperti kebersihan dan bau-bauan segar yang sering kali diabaikan dalam mendekorasi kediaman, termasuk bagi ruang-ruang yang kurang diberi perhatian seperti tandas.
"Kalau ada basikal anak masa umur 9 tahun, sekarang dia sudah 17 tahun, tolonglah buang. Halaman rumah kena bersih. Kebersihan mencerminkan jiwa, sebelum beli barang baharu, barang lama kita bersihkan, sedekah atau jual.
"Tingkap kena bersih, kalau ada cat tertanggal, kita cat semula. Tak perlu berbelanja besar, cuma dengan membersihkan dan menukar susun atur rumah supaya ia nampak kemas dan selesa untuk orang datang berkunjung," kata Faiz lagi.
Mereka yang tidak mahu berbelanja besar juga disarankan mengamalkan konsep mix and match atau suai padan, yang bukan saja mampu membuatkan kediaman nampak cantik tetapi juga nampak berbeza dari kebiasaan.
"Sebagai contoh, kami ada koleksi pinggan mangkuk yang mudah disesuaikan dengan apa yang sedia ada. Dengan koleksi ini, kami mahu memberitahu bagaimana kita boleh kombinasikan barang sedia ada dengan baharu membangkitkan suasana hari raya," katanya.
Dari segi warna pula, Faiz berkata, tidak ada salah atau betul dalam soal pemilihan warna kerana ia bergantung pada individu.
"Ada yang kata warna terang tak sesuai. Bagi saya kalau itu memberikan perasaan gembira, mengapa tidak?
"Cuma kalau pilihan peribadi, saya lebih selesa dengan warna-warna lembut yang memberi ketenangan, contohnya seperti warna biru lembut yang saya gunakan dalam dekorasi rumah ini," jelasnya.