Deepavali: Ramai hati-hati berbelanja kerana kenaikan harga barang - Peniaga
Mariah Ahmad
November 8, 2015 07:45 MYT
November 8, 2015 07:45 MYT
Kenaikan harga barang dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) antara keluhan penganut beragama Hindu di negara ini menjelang sambutan perayaan Deepavali tahun ini.
Ia berdasarkan tinjauan Astro AWANI pada Ahad di Little India Brickfields, berhubung situasi ekonomi semasa dan kesan terhadap persiapan menjelang sambutan Pesta Cahaya itu esok.
Ada juga antara mereka yang mengakui terpaksa menyusun atur perbelanjaan mereka kerana peningkatan harga barang di pasaran.
Bagi peniaga, ada antara mereka mengeluh kerana perniagaan mereka terganggu kerana sentimen kekurangan kuasa pembeli untuk berbelanja.
Menurut peniaga muruku, M G Raja, GST antara punca utama ramai pengguna kurang berbelanja berbanding tahun lalu.
"Ketika sambutan Deepavali tahun dulu memang ramai orang. Tahun ini pun ramai orang namun mereka tidak berbelanja banyak. Mereka belanja sedikit sahaja.
"Itulah, saya rasa kerana harga barang semakin tinggi dan juga kerana GST. Dalam kalangan pengguna yang berpendapatan sederhana masih membeli-belah, tetapi yang miskin tidak mampu beli barang," tambah Raja.
Peniaga pakaian dan kasut, Naveed Ahmad juga sependapat dengan Raja dengan menyifatkan GST sedikit sebanyak memberi impak apabila tidak ramai yang berbelanja walau pada musim perayaan.
"Mata wang pun jatuh. Barangan kedai saya diimport dari luar negara seperti Pakistan, India dan Thailand. Jadi harga barang semakin mahal. Siapa mahu beli barang yang mahal? Orang tidak mahu beli barang yang mahal," katanya.
Berbeza bagi peniaga barangan kelengkapan rumah, Santy Ragaval, beliau berkata walaupun barangan mahal namun ia tidak menjejaskan perniagaannya.
Sementara itu, bagi pembeli, mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan menyusun atur perbelanjaan mereka untuk membeli belah bagi Deepavali tahun ini.
Pekerja kedai kopi, Mahaletchumy berkata dia terpaksa membuat kuihnya sendiri memandangkan kos untuk membelinya sangat tidak berpatutan dan mahal.
"Memang perbelanjaan bajet tahun ini banyak dipotong dan banyak barang tidak dapat dibeli. Saya terpaksa membuat kuih sendiri walaupun tahun dahulu saya membeli kuih kerana saya bekerja dan tiada masa. Namun tahun ini, kena buat sendiri sebab barang terlalu mahal.
"Baju pun saya beli kurang berbanding tahun lepas," kata Mahaletchumy.
Tidak menafikan perbelanjaan keluarga tahun ini sangat sukar, namun ia tidak menghalang untuk pekerja swasta, Kuna Segaran untuk meraikan Deepavali dengan suasana yang meriah.
"Kami memotong perbelanjaan kami di bahagian lain, dan kami menggunakannya untuk sambutan Deepavali. Walaupun sukar, namun kami mahu cuba untuk memuaskan hati anak-anak kami sempena Deepavali ini," katanya.