Datuk susah payah sediakan makan malam, cucu pula tidak hadir
Madiha Abdullah
Mac 19, 2016 12:08 MYT
Mac 19, 2016 12:08 MYT
TATKALA usianya sudah memasuki usia emas, tiada yang lebih menggembirakan selain dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
Mungkin itulah yang diharapkan seorang warga emas apabila membuat perancangan untuk makan malam bersama enam orang cucunya di rumahnya di Oklahoma, Amerika Syarikat.
Kerana teruja, si datuk sanggup menyiapkan sedozen burger untuk hidangan cucu-cucu kesayangannya itu. Sayangnya, hanya seorang sahaja yang hadir ke makan malam istimewa itu.
Salah seorang cucunya yang dikenali sebagai Kelsey Harmon datang untuk menemani datuknya dalam majlis malam ringkas itu.
Harmon memuat naik foto datuknya yang dikenali sebagai Papaw itu ke akaun Twitternya, sekaligus membangkitkan rasa simpati dan marah netizen.
Bersama foto itu, Harmon seolah-olah cuba menyampaikan kekecewaan datuknya menerusi kapsyen berbunyi "Datuk memasak 12 burger untuk makan malam bersama enam cucunya, tapi hanya saya seorang yang datang. Sayang sayang datuk".
Netizen mula memberi reaksi mempertikaikan tindakan lima cucu Papaw yang tidak hadir ke makan malam berkenaan.
Dalam masa yang sama, mereka juga saling memberi peringatan tentang kepentingan untuk meluangkan masa dan menghargai orang tua, ketika mereka masih ada di dunia.
Agak menggelikan hati apabila ada dalam kalangan netizen menggugut sepupu-sepupu Harmon agar segera mengunjungi Papaw, memaksa Harmon memuat naik status memberitahu bahawa datuknya berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Dalam kenyataannya yang dimuat naik beberapa jam selepas itu, Harmon menjelaskan dia tidak mempunyai niat untuk mencari publisiti, sebaliknya hanya mahu menunjukkan penghargaan dan rasa sayang kepada datuknya.
Status daripada Harmon itu telah menerima lebih 150 ribu retweet setakat ini.