Datang ke pusat vaksinasi dengan kepala seperti 'berlumuran darah'... Rupa-rupanya...
Agensi
Julai 22, 2021 08:00 MYT
Julai 22, 2021 08:00 MYT
HARI ini, Malaysia terus merekodkan kadar vaksinasi harian melebihi 400,000 dos.
Sejak seminggu lepas juga, begitulah angkanya, cuma sesekali di bawah kadar itu dan angka sebegitu menunjukkan rakyat Malaysia benar-benar mahu divaksinasi.
Salah satu kisah menarik adalah seperti yang terjadi kepada wanita ini, sanggup meninggalkan sesi mewarna rambut di rumah sendiri untuk pergi ke pusat vaksin untuk menerima vaksin.
Lebih melucukan, dia datang dengan keadaan rambutnya basah kuyup dengan pewarna merah kerana baru separuh jalan mewarnakan rambutnya.
Semangat wanita ini untuk hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV), sangatlah dipuji!
Kisah itu dikongsikan pengguna Facebook, Thain Siew Kim, yang merupakan seorang pelakon, menceritakan pengalamannya menemani ibunya di pusat vaksinasi pada 16 Julai lepas.
Cerita tersebut mendapat liputan pelbagai portal gaya hidup tempatan, termasuk World of Buzz, malah dipetik portal Singapura, Mothership.sg.
Semuanya bermula ketika ibunya menerima pemberitahuan bahawa dia mendapat tarikh dan waktu untuk divaksinasi, menyebabkan anaknya mendesak ibunya itu untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) segera.
Begitupun, ibunya sedikit sangsi, adakah dia boleh datang ke PPV dengan ‘rambut separuh siap’ sebegitu?
Meredakan keadaan, adik Thain terus mengatakan kepadanya: “Suntik vaksin di lengan, tiada kena mengena dengan kepala.”
Mendengar jawapan itu, ibu Thain bersiap dan terus ke PPV di mana Thain sedang menunggunya di sana selepas dia selesai menerima vaksin.
Dalam catatan Facebooknya, Thain menjelaskan bahawa ibunya berbangsa Thai dan hanya dapat bertutur dalam bahasa Thai. Jadi dia harus menemani ibunya sepanjang proses vaksinasi.
Melihat kepalanya basah dan berwarna merah, keadaan ibunya menarik perhatian pekerja kesihatan di pusat itu yang menyangka ia adalah darah.
Bahkan menurut Thain, petugas di pusat pemberian vaksin turut memeriksa ibunya jika kepalanya terluka, malah ada juga yang menyangka dia cedera dan sedang mencari ambulans ketika itu.
“Petugas kesihatan bertanya kepada saya jika dia benar-benar baik-baik saja dan tidak sakit," katanya dalam catatannya, sambil menambah:
“Mereka bahkan mengesyaki bahawa saya bukan anak perempuannya dan ingin melihat apakah nama keluarga saya sama dengan nama keluarga yang diambilnya ketika dia berpindah ke Malaysia dan berkahwin.
“Saya juga disyaki sebagai majikan yang telah mendera pembantu rumahnya hingga kepalanya berlumuran darah!”
Namun, setelah menyelesaikan keraguan mereka, Thain mengatakan bahawa kakitangan PPV itu melayan ibunya dengan malah meminta untuk mengambil gambar bersama.