Manakan tidak, halaman rumah Masni Bahari, 40, yang terletak di Felda Melur Jengka 12, Maran, Pahang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok keladi dan corak warna daun keladi yang menyejukkan mata memandang.
Masni atau mesra dipanggil Cikgu Masni berkata, dia mula jatuh cinta kepada pokok keladi sejurus melihat pokok berkenaan ketika pergi ke Cameron Highlands bersama rakan-rakan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Bermula hanya menanam 10 jenis pokok keladi, halaman rumah Masni ketika ini sudah dihiasi lebih 100 jenis tumbuhan berkenaan.
"Kalau tidak kerana PKP mungkin tanaman keladi saya tidak akan jadi sebanyak ini.
“Sepanjang PKP, selepas sahaja selesai urusan sekolah dan sesi mengajar secara dalam talian, saya pun menghabiskan masa dengan menanam keladi dan mencari tanah untuk tanaman keladi,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Guru dari Sekolah Kebangsaan Jengka 13 itu berkata aktiviti menanam pokok keladi memberikan keseronokan apabila tertarik dengan keunikan corak, walaupon pokok berkenaan tidak berbunga.
Antara jenis corak keladi yang menjadi pujaan ramai adalah keladi dark mount, jazz, new waze, mizani, cat tumpah, tembikai, keladi daging urat putih dan urat hijau, summer pink, mickey, elise dan tambuna.
Kebanyakan nama pokok-pokok berkenaan bukan berasal dari nama sainstifik, sebaliknya nama-nama tersebut diberikan oleh penggemar pokok daun keladi itu sendiri.
Bercerita lebih lanjut, Masni yang sememangnya gemar bercucuk tanam sejak muda lagi berkata, beliau menimba ilmu mengenai penjagaan pokok keladi daripada rakan, selain menonton video di laman YouTube.
Menanam keladi, katanya tidaklah terlalu rumit seperti yang disangka ramai, tetapi ia memerlukan kerajinan untuk melihat pokok itu setiap hari bagi mengelak serangan serangga pada daun.
"Yang penting ia perlu sentiasa lembap dan dijaga dengan baik. Saya juga menyembur racun perosak serangga di sekeliling halaman bagi menghindari daripada dimakan ulat,” katanya.
Lebih mengujakan, ada pencinta keladi yang sanggup datang dari Felda lain untuk membeli keladi Masni.
Katanya, harga pokok keladi boleh mencecah harga ‘kayangan’ iaitu sekitar RM500 hingga RM1500 ke atas sejak ia tular dan menjadi trend.
“Saya hanya jual anak pokok sahaja. Apa yang saya lakukan ini adalah kerana minat bukannya keuntungan semata-mata," ujar ibu kepada empat cahaya mata itu lagi.
Selari dengan peredaran masa, Masni mula memasarkan anak pokok keladi melalui platform perniagaan dalam talian sejak bulan lalu dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
Masni turut berharap agar aktiviti tanaman pokok keladinya itu akan terus berkembang, selain menyasarkan memiliki lebih 1,000 pokok keladi.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !