Dari gelanggang ke depan kamera: Juara karate, Yaamini Gopalasamy, belum berpuas hati
Agensi
Mac 8, 2019 17:11 MYT
Mac 8, 2019 17:11 MYT
WALAUPUN sudah bergelar juara dalam bidangnya, wanita ini masih ingin meneroka bidang berbeza selain karate.
Menurut laporan portal Astro Ulagam, semangat wanita yang mahu terus mara dalam hidup seperti yang ditunjukkan oleh atlet karate negara, Yaamini Gopalasamy, itu sewajarnya dicontohi.
Pada mulanya, Yaamini tidak berminat melibatkan diri dengan karate tetapi Yaamini akhirnya tertarik dengan sukan tersebut apabila melihat adiknya yang mengikuti kelas seni bela diri berkenaan sebagai aktiviti kokurikulum tambahan.
Siapa sangka, wanita yang pada awalnya tidak suka bersukan dan berbadan kecil itu begitu fokus hinggakan berjaya menjadi juara karate kebangsaan, termasuk memperoleh dua pingat emas dua tahun berturut-turut pada Kejohanan Asia tahun 2005 dan 2007.
Yaamini dilaporkan sebagai seorang atlet yang kuat berusaha sehingga ada hari, beliau mengakui berasa terlalu penat dengan latihan yang dijalankannya.
Namun, hasil titik peluh dan semangatnya itu telah membawanya ke peringkat Sukan SEA, malah ke separuh akhir di peringkat Kejohanan Dunia di Finland.
Walaupun sudah mencipta nama di seluruh pelosok dunia, beliau masih belum puas dengan pencapaiannya itu kerana ingin cuba melakukan sesuatu yang baharu.
Yaamini mempunyai azam dalam meneroka sesuatu yang lain. Beliau sebenarnya turut menunjukkan bakat dunia hiburan apabila menerima peluang untuk menceburi dunia lakonan dan pengacaraan.
Walau bagaimanapun, oleh kerana latar belakang kecergasan dan ketangkasannya, Yaamini kerap mendapat tawaran yang sama.
Banyak tawaran yang memintanya untuk melakonkan watak-watak lasak seperti pegawai polis dan atlet kerana memerlukannya untuk melakukan aksi yang hampir sama seperti pergerakan karate.
“Semua orang memberi saya peranan seorang pegawai polis atau seorang atlet dan selepas satu masa, ia berasa berulang kali. Sekarang, saya memikirkan cara yang saya dapat membuktikan bahawa saya mampu menjadi lebih daripada sekadar seorang gadis yang kasar di skrin," jelas beliau kepada Astro Ulagam.
Meskipun Yaamini sudah beralih ke bidang baharu, karate masih di hatinya dengan menjadi jurulatih kepada kanak-kanak dan anak muda yang bertanding untuk kejohanan karate.
#atlet
#Juara
#karate
#karate kebangsaan
#kejohanan asia
#kejohanan dunia
#sekan sea
#wanita
#yaamani gopalasamy