Danial Hansen belajar baiki diri, raih pencapaian membanggakan di Mr Supranational 2023

Astro Awani
Julai 16, 2023 15:12 MYT
Danial Hansen (kanan) dan Deidre Walker membawa saingan negara ke pertandingan Mister dan Miss Supranational 2023. - Instagram @deidrewalker, @danial_hansen
KUALA LUMPUR: Wakil negara di pertandingan Mr Supranational 2023, Danial Hansen, ternyata membuahkan hasil kerana bukan sahaja beliau mengharumkan nama negara apabila terpilih ke kedudukan 10 teratas, malah menjadi pengalaman bermakna buat dirinya.
Anak kelahiran Selangor berusia 28 tahun itu dipilih untuk mewakili Malaysia selepas berjaya dinobatkan sebagai Mr Supranational Malaysia 2023 pada Mei lalu.
Meskipun hanya berada di kedudukan 10 teratas, penyertaan Danial ternyata memberi kepuasan peribadi buatnya, apatah lagi apabila turut memenangi Supra Fan Vote dan gelaran Mr. Influencer.
Menerusi ruangan Instagram, Danial mengakui tujuan utama menyertai pertandingan itu adalah untuk mengubah kehidupannya.
“Sejujurnya, saya menyertai pertandingan ini kerana ingin mengubah hidup saya daripada seseorang yang selalu mementingkan diri sendiri kepada seseorang yang memiliki perasaan.
“Saya sangat gembira kerana saya telah menemuinya. Ini kemenangan terbesar yang pernah saya capai sepanjang hidup,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram.
Akui Danial, meskipun sifatnya agak pendiam ketika berjumpa orang, dirinya sentiasa konsisten dan disiplin ketika beraksi di pentas peragaan.
"Kepada semua penyokong Malaysia, tanpa anda, Malaysia dan saya tidak akan berjaya ke tahap ini. Malaysia memang boleh!" katanya di ruangan kapsyen Instagramnya, sambil bmemberi penghargaan kepada pereka persalinannya.
Mr Supranational merupakan pertandingan bertaraf antarabangsa edisi lelaki di bawah naungan World Beauty Association S.A untuk memilih pemenang berdasarkan kriteria tertentu seperti keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi, penampilan fizikal dan karisma secara keseluruhan.
Dalam pertandingan yang membawa mesej gaya hidup sihat itu, wakil dari Sepanyol, Iván Álvarez Guedes dinobatkan sebagai pemenang Mr Supranational 2023, manakala tempat kedua dan ketiga disandang oleh Henrique Martins dari Brazil dan Luca Derin dari Netherlands.
Acara yang berlangsung di Amfiteater Strzelecki Park di Nowy Sacz, Poland itu menyaksikan Guedes berjaya mengalahkan 33 peserta negara lain bagi merebut gelaran juara.
Sementara itu, gadis kelahiran Sabah, Deidre Walker yang menjadi wakil Malaysia ke pertandingan Miss Supranational 2023 pula, berjaya berada dalam kumpulan sepuluh model terbaik menerusi segmen Supra Model of the Year.
“Menyertai pertandingan ratu cantik adalah penghormatan saya kepada mendiang ibu. Satu penghormatan ditujukan untuknya, terutamanya ketika malam anugerah Miss Supranational Malaysia 2023 beberapa hari sebelum hari ulang tahun pemergiannya pada Ogos 2022,” kata gadis berusia 28 tahun itu.
Dalam edisi wanita itu, model jelita Andrea Aguilera dari Ecuador diumumkan sebagai Miss Supranational 2023.
#Danial Hansen #Mr Supranational 2023 #pertandingan ratu cantik #Deidre Walker
;