Dakwah Ramadan dalam secedok nasi

Reeza Redzuan Rosnan
Jun 19, 2016 23:45 MYT
Majlis Look-In on Ramadan anjuran Islamic Society of Tulsa diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman mengenai puasa dan Ramadan kepada masyarakat bukan Muslim - Foto Reeza Redzuan Rosnan
“Pada suatu hari, jiran saya dari Arab Saudi berdakwah kepada saya mengenai Islam dan menerangkan panjang lebar tentang Bible yang telah banyak kali diubah suai dan mengapa saya masih lagi berpegang kepada agama Kristian. Justeru soalan saya ialah apakah yang harus saya lakukan?” tanya seorang lelaki berbadan gempal tertegun-tegun.
Kelihatan di lehernya tergantung rantai salib manakala di pergelangan tangannya jelas menampakkan gelang getah PRIDE berwarna pelangi.
“Apakah yang harus saya jawab kepada mereka?” ulangnya lagi. Semua mata fokus memandang ke arah lelaki tersebut.
Lelaki tersebut merupakan antara tetamu yang hadir dalam majlis Look-In on Ramadan anjuran Islamic Society of Tulsa.
Buka puasa untuk masyarakat berbilang agama
Program tahunan yang berlangsung malam tadi di sebuah dewan terletak di perkarangan Masjid Al-Salam, Tulsa itu diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman mengenai puasa dan Ramadan kepada masyarakat bukan Muslim.
Di sebalik gelombang Islamofobia yang meningkat akibat serangan Orlando baru-baru ini di tambah gesaan calon Presiden Donald Trump untuk memperketat pengawasan kepada setiap umat Islam di Amerika, ternyata sambutan yang diterima cukup luar biasa.
Menurut penganjur, tahun-tahun kebiasaannya hanya mencatat jumlah pengunjung lebih kurang 100 orang sahaja, namun pada malam ini hampir 400 orang pengunjung hadir memenuhi segenap ruang dewan.
BACA: Serangan Orlando: Antara harapan, hijab dan hati
BACA: Serangan Orlando: Penyerang mengaku terlibat Daish, kata pihak berkuasa
BACA: 'Jangan salahkan orang Islam, semua agama ada orang jahat' - Dalai Lama
Memahami dengan secedok nasi
Sebagai sukarelawan program, saya ditugaskan untuk mencedok makanan kepada para hadirin.
Justeru, setiap individu yang inginkan nasi kuning basmathi akan ‘berhadapan’ dengan saya dan ini bermakna saya dapat bersemuka dengan setiap tetamu sambil mengucapkan terima kasih kerana hadir ke majlis tersebut.
Seperti biasa, deria pandangan saya berubah sepuluh kali ganda lebih sensitif daripada biasa. Saya teliti tetamu yang hadir terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Ada yang muda berjalan bertatih, ada yang tua membongkok menongkat, ada yang kulit putih melepak, ada yang kulit hitam berkilat, ada yang sopan berselendang panjang, ada yang seksi berskirt senteng.
Tidak ketinggalan juga golongan beragama seperti paderi bermazhab Evangelical yang kemas berkemeja dan rabi Yahudi yang lengkap beryarmulka, di samping golongan ateis, turut sama hadir dan menggesa agar saya mengurangkan jumlah nasi yang dicedok.
Lain pula golongan LGBT seperti pasangan suami tak lekang berpegangan tangan serta seorang transgender bermaskara tebal, yang malu-malu meminta tambahan kambing panggang. Terliur saya dibuatnya kerana waktu berbuka masih berbaki satu jam lagi.
Bangsa berakal, bukannya dangkal
Saya amati organisasi di sini budayanya saling melengkapi. Tiga minggu yang lalu mereka menghadiri ucapan di synagogue Yahudi manakala Ahad yang lalu bersolidariti bersama golongan LGBT.
Bahkan kelihatan pengunjung yang hadir punyai semangat ingin memahami yang tinggi. Mereka memilih untuk menjadi bangsa yang berakal, bukan bangsa yang dangkal.
Mungkin kerana itulah mereka tidak mudah melatah atas tragedi di Orlando baru-baru ini. Mereka tahu bahawa Islam tidak meraikan atau bergembira atas tragedi hitam tersebut.
Selepas makan, mereka menghayati penerangan mengenai Ramadan oleh seorang remaja lelaki. Dengan gayanya yang sangat bersahaja, para hadirin memahami erti jihad atau pergelutan oleh umat Islam dalam memperbaiki diri sempena bulan Ramadan yang mulia ini.
Dakwah perlu rela
Kemudian sesi forum ringkas diadakan dan hadirin berpusu-pusu bertanyakan soalan.
Ada satu soalan yang menarik tumpuan saya, yakni mengenai tindakan sekumpulan Muslim yang merendah-rendahkan kitab Bible yang dipercayainya.
Ternyata lelaki itu berkecil hati atas kata-kata yang dilontarkan oleh pelajar dari Arab Saudi tersebut.
Masakan tidak, kita sendiri tidak suka jika ada mubaligh Kristian tiba-tiba mendekati dan berbicara mengenai risalah Berita Baik tanpa dijemput tanpa ditanya, bayangkan apatah lagi apabila kepercayaan kita dipertikai tatkala sedang menyiram pasu bunga.
Panel lelaki berusia lingkungan 50-an itu menghela nafas panjang.
“Itu bukan ajaran Islam, titik!” ujar panel tersebut merangkap seorang profesor di universiti berdekatan penuh tegas.
Beliau menerangkan bahawa tindakan tersebut bukan dianjurkan Islam dan berpendapat bahawa dakwah tanpa kerelaan dan pelawaan adalah dilarang.
“Ucapkan terima kasih dan terus beredar dari situ,” tambahnya lagi sambil menguntumkan senyuman.
Sesungguhnya dakwah merupakan isu yang sangat sensitif.
Di Amerika, prinsip kebebasan beragama sangat dijunjung tinggi dan kerana itulah mungkin Islam bergerak subur bahkan Muslim di sini boleh menang saman di mahkamah sekiranya majikan mendiskriminasi pekerja atas alasan berhijab.
Namun di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4) dengan jelas melarang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
Cermin semula nilai agama
Kita terlalu obses mahukan semua orang memeluk Islam, sehingga kadangkala lupa mencermin diri melihat nilai-nilai agama kita yang semakin kelam.
Pantang melihat ada sahaja individu yang berbuat kebaikan, mulut kita mengungkapkan “alahai sayangnya dia bukan Muslim, semoga dia mendapat hidayah Allah dan masuk Islam”.
Kita barangkali terlupa, menjadi orang yang baik dan menjadi orang Islam itu adalah dua perkara yang berbeza. Pernahkah kita terfikir, apakah perasaan individu tersebut yang mendengarnya?
Selagi kita tidak mengubah persepsi ini selagi itulah kita akan menganggap orang bukan Muslim itu sebagai tidak baik.
Bayangkan kita membantu seorang warga tua yang ingin melintas jalan, dan reaksi yang kita peroleh ialah: Alahai kenapalah dia ni Muslim, semoga 'Tuhan Bapa' memberinya cahaya petunjuk, amen.
Apakah perasaan anda? Bangga? Terharu? Atau tertanya-tanya: Kau dah kenapa?
Sesungguhnya program sebegini telah banyak membuka mata saya dalam banyak hal dan perkara. Sebagai seorang musafir di bumi Allah ini, saya ingin terus menggali rahsia Maha Esa yang menciptakan manusia dari pelbagai suku dan budaya.
Kerana saya percaya syurga itu penuh dengan cinta. Semoga Allah memberi hidayah kepada saya.

*Reeza Redzuan Rosnan ialah seorang pelajar Malaysia di University of Tulsa, Oklahoma
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#dakwah #Islamofobia #Serangan Orlando
;