Dah tukar bateri kereta baharu? Ini tip penjagaan agar tahan lebih lama
Maskulin
Oktober 31, 2021 10:55 MYT
Oktober 31, 2021 10:55 MYT
ANTARA komponen kereta yang kita sangka sangat mudah, tapi bila ia rosak memang boleh buat kita rasa nak hempuk kepala sendiri adalah bateri.
Bayangkan anda nak cepat tapi bila kereta dihidupkan ia tak mahu hidup; bila dipulas kunci akan keluar bunyi pelik.
Itu maknanya bateri anda telah kong atau rosak!
Sebagai pemilik kenderaan anda harus sentiasa menjaga dan servis bateri kereta setiap masa.
Jadi apa fungsi bateri kereta? Dalam bahasa mudah ia membekalkan arus elektrik untuk menghidupkan enjin.
Selain itu ia juga menyimpan muatan elektrik untuk digunakan semasa enjin tidak beroperasi.
Komponen asas bateri kereta
Bateri dianggap sebagai alat penting dalam peraturan sistem elektrik kenderaan. Anggap saja seperti paru-paru yang menjadi organ penting dalam sistem pernafasan.
Selalunya bateri kereta yang dijaga dengan baik boleh bertahan sehingga 2 hingga 3 tahun malah ada bateri yang tahan lebih lama lagi.
Menjaga bateri kereta anda tidaklah sesusah mana, namun jika anda mengabaikannya, tentulah bateri kereta anda akan cepat kong.
JENIS BATERI
Terdapat dua jenis bateri yang boleh anda perolehi pada masa kini:
- Sel kering
- Sel basah
Ikuti tip yang boleh anda praktikkan untuk menjaga bateri kereta:
Periksa Aras Air Bateri
Langkah ini sesuai digunakan untuk pengguna bateri sel basah dan bukannya bateri maintenance-free.
Bateri sel basah memerlukan cecair ditambah dari semasa ke semasa.
Cecair yang kurang dalam bateri dalam masa yang panjang akan mengakibatkan tempoh hayat bateri pendek daripada yang sepatutnya.
Pastikan air bateri mencapai tahap bawah sedikit dari maksimum.
Cara menambahnya amat mudah. Anda cuma perlu membuka penutup dan isikan dengan air bateri yang anda boleh dapati daripada stesen minyak berdekatan.
Setiap bateri akan mempunyai terminal postif (+) dan negatif (-) yang perlu anda bersihkan.
Ini kerena keladak pada terminal akan menyebabkan cas bateri tidak sampai dan kenderaan tidak dapat dihidupkan.
Cara untuk membersihkan terminal bateri:
- Tanggalkan kabel sambungan daripada terminal bateri dan jauhkannya daripada terminal bateri.
- Bersihkan terminal dengan berus dawai dengan bancuhan air dan soda bikarbonat.
- Gosok perlahan-lahan sehingga bersih daripada kesan garam asid.
- Jangan menggunakan tukul sewaktu memasang kembali sambungan ke terminal bateri.
- Longgarkan skru sambungan untuk memudahkan pemasangan kembali.
Sapukan Gris Tahan Panas
Sapukan gris tahan panas pada bahagian terminal bateri untuk mengelakkan daripada terhakis dan karat.
Pasang Voltmeter
Bateri anda memerlukan cas yang cukup untuk untuk beroperasi.
Jika anda menghantar kereta anda untuk servis ataupun diselenggara, pastikan voltan bateri diperiksa sekali oleh mekanik.
Mereka biasanya mempunyai peralatan khusus untuk memeriksa voltan bateri.
Bergantung pada saiz dan jenis bateri, bateri bercas penuh biasa mempunyai bacaan 12.5 ke 12.6 volt.
Pemasangan voltmeter di dalam kereta anda tentulah cara yang paling mudah untuk memeriksa voltan bateri anda.
Kini anda boleh membelinya di pasaraya terkenal. Walaupun bacaan dikatakan tidak tepat,namun ia pasti memudahkan anda.
CIRI-CIRI BATERI KERETA ELOK
- Bateri kereta dicas secukupnya
- Umur bateri bertahan lama
- Aras elektrolit bateri sentiasa terkawal
- Tiada perlukan kerap menambah air suling
*Artikel asal di Maskulin
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !