Cucu dedah wajah individu di 'wallpaper' telefon Tun Mahathir
Azyyati Ahmad
September 3, 2017 15:52 MYT
September 3, 2017 15:52 MYT
FAKTOR umur tidak menjadi masalah untuk menunjukkan kemanisan hubungan suami isteri dan itu yang ditunjukkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap isterinya Tun Dr Siti Hasmah.
Sebuah foto yang dikongsikan cucunya, Ally Mukhriz di Instagram menarik perhatian ramai apabila bekas perdana menteri itu dilihat meletakkan wajah isterinya sebagai ‘wallpaper’ di telefon pintarnya.
Tulis Ally, foto itu dirakamnya apabila menyedari bahawa datuknya meletakkan wajah lucu neneknya sebagai 'wallpaper' telefon pintar.
Ramai yang kagum dengan perkara berkenaan yang memperlihatkan sisi romantis Tun Mahathir terhadap isteri walaupun umur sudah meningkat.
Ini bukan kali pertama Tun Mahathir, 92 dan Tun Siti Hasmah, 91 dijadikan contoh sebagai pasangan paling ideal untuk tanda pagar #RelationshipGoals.
Sebelum ini pelbagai aksi comel mereka berdua dikagumi ramai kerana dilihat bagai pasangan yang baru bercinta.
Pasangan ini sudah 61 tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tujuh orang anak.