Cuai? Alpa? Ini tip elak lupa, tertinggal anak dalam kereta

Astro Awani
Ogos 16, 2020 09:57 MYT
Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda, contohnya beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang. -Gambar fail
BARU-BARU ini Malaysia dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta selama hampir 10 jam.
Kanak-kanak perempuan itu tertinggal di dalam kereta bapanya yang diletakkan di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Petani, Khamis lepas yang hanya disedari bapanya, seorang pemandu lori selepas dia habis bekerja.
Kes seperti itu bukanlah pertama kali terjadi kerana pada Februari lepas, seorang bayi berusia sembilan bulan ditemui mati dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Kuantan.
BACA: Hanya jeritan Allahuakbar, bapa temukan bayi 9 bulan maut tertinggal dalam kereta
BACA: Pergi kerja, hadir mesyuarat punca ibu bapa tertinggal anak dalam kereta
BACA: Kanak-kanak terkunci 6 jam dalam van meninggal dunia selepas 4 hari koma
Timbul saja berita-berita seperti itu, kesalahan pantas ditujukan kepada ibu bapa mangsa, bertubi-tubi datangnya, segelintirnya langsung tiada bibit simpati.
Kecaman datang tanpa henti, sesak nafas rasanya membaca sebahagian komen yang tidak langsung membantu menenangkan keluarga mangsa.
Benar, mungkin ada salahnya tapi percayalah, jika anda terkesan dengan insiden itu, ibu bapa mangsa berkali ganda terkesan.
Daripada terus mengecam, ada baiknya jika berkongsi tip agar perkara sama tidak berulang. Sekurang-kurangnya, ada jugalah ilmu berguna untuk mereka di luar sana.
Astro AWANI pernah berkongsi tip sama sebelum ini namun memandangkan isu ini kembali dibincangkan, sekali lagi tip ini dikongsi untuk kebaikan masyarakat.
Seorang pegawai perubatan yang juga penulis buku “Cakar Ayam Seorang Doktor”, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi sembilan tip bagi mengelak kes terlupa anak dalam kereta yang dikongsi di laman Facebooknya tidak lama dahulu.
1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blind spot). Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.
2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan anda. Mulakan amalan ini mulai sekarang.
3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak anda di belakang.
4. Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ketiga. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.
5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda, contohnya beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang.
6. Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak anda di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah.
7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.
8. Guna peranti atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Boleh layari internet dan lihat aplikasi mana yang sesuai dengan anda.
9. Bagi yang selalu menggunakan aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder (Settings>Reminders>Child Reminder). Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi.
Pastinya tiada ibu bapa yang mahu perkara itu terjadi kepada anak mereka kerana peritnya kadangkala tak tertanggung apabila kehilangan insan tersayang, apatah lagi dengan cara sebegitu.
Semoga perkongsian ini dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan dalam kalangan masyarakat.
#anak #Astro Awani #bayi #Kanak-kanak #keluarga #kereta #Kuantan #Malaysia #mangsa #mati #meninggal dunia #perubatan #rumah #sekolah #Sungai Petani
;