COVID-19: Warga Belgium diseru makan kentang goreng lebih kerap, elak pembaziran
Agensi
April 28, 2020 06:34 MYT
April 28, 2020 06:34 MYT
PENDUDUK Belgium diseru memakan kentang goreng sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk mengelak lebih daripada 750,000 tan kentang dibazirkan.
Wabak COVID-19 yang melanda negara itu menyaksikan lebihan kentang di negara tersebut, susulan permintaan untuk frite, sejenis hidangan popular yang biasa menjadi hidangan di bar dan restoran, telah merosot selepas penutupan operasi perniagaan bermula 18 Mac lalu.
Bercakap kepada CNBC, Romain Cools, setiausaha jeneral perindustrian kentang yang dikenali sebagai Belgapom, memaklumkan terdapat sekitar 750,000 tan kentang, yang dianggarkan cukup untuk mengisi 30,000 lori besar, tidak dapat diproses.
Masalah utama adalah penurunan permintaan terhadap kentang sejuk beku (frozen fries), yang menyumbang sekitar 75 peratus dari pemprosesan kentang di Belgium.
Inventori yang bertambah akan menyebabkan kapasiti peti sejuk semakin berkurangan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Belgapom meminta masyarakat meningkatkan pengambilan kentang goreng setiap minggu.
"Kami bekerjasama dengan pasar raya untuk melihat jika kami dapat melancarkan kempen yang membolehkan orang ramai membantu sektor ini dengan memakan kentang goreng, terutama kentang beku, dua kali seminggu.
"Apa yang kami cuba lakukan adalah mengelak pembaziran makanan, kerana setiap kentang yang dibuang adalah satu kerugian," kata Cools.
Setakat ini, Belgium telah mencatat 46,687 kes COVID-19 dan 7,207 kematian, menurut data dari Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.
Minggu lalu, Perdana Menteri Belgium, Sophie Wilmes, mengumumkan perintah berkurung akan dilonggarkan secara berperingkat, bermula dengan pembukaan semula beberapa sektor perniagaan pada 4 Mei.
Namun begitu, kafe dan restoran hanya dibenar beroperasi semula 8 Jun depan.
#Belgium
#COVID-19
#frite
#kentang
#kentang goreng
#kentang sejuk beku
#kilang
#koronavirus
#operasi
#Romain Cools