COVID-19: Tunang kata bersabarlah - Bakal pengantin akur hajat berumah tangga terpaksa ditunda

Afiq Ariffin
April 11, 2020 12:03 MYT
Akur dengan arahan duduk di rumah sepanjang PKP, Nur Shuhada berkata dia redha dengan apa yang berlaku. - Foto Astro AWANI/Afiq Ariffin
Siapa sangka, majlis perkahwinan yang dirancang rapi bersama pasangan selama sembilan bulan terpaksa ditunda ekoran pandemik COVID-19.
Itu luahan bakal pengantin, Nur Shuhada Asyikin Abdul Hamid yang terpaksa membuat keputusan menangguhkan majlis perkahwinan bersama tunangnya Muhammad Zulfadli Azam, susulan tempoh Printah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan.
Menurut gadis berusia 25 tahun dari Klang, Selangor ini, majlis pernikahan dia dan bakal suaminya sepatutnya diadakan pada 21 Mac lalu.
Namun, susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan dan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan, hasrat Nur Shuhada mendirikan rumah tangga terpaksa ditunda.
“Majlis perkahwinan saya sepatutnya diadakan pada 21 dan 22 Mac lalu, namun, setelah mengetahui pengumuman berkenaan PKP, kami terpaksa batalkannya.
“Pada mulanya, kami fikir kami masih boleh menjalankan majlis nikah kerana pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih membenarkan pernikahan berlangsung pada waktu itu, namun, kenyataan tersebut ditarik semula bagi membendung penularan COVID-19.
Malah, kami juga dimaklumkan bahawa ada ahli keluarga sebelah lelaki juga diminta untuk dikuarantin oleh pihak hospital kerana disyaki mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 ,” katanya kepada Astro AWANI.
Akur dengan arahan duduk di rumah sepanjang PKP, Nur Shuhada berkata dia redha dengan apa yang berlaku.
Malah, dia bersyukur dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam proses penangguhan perkahwinannya, khususnya pihak perancang perkahwinan.
“Setelah mengetahui pengumuman PKP, saya dan tunang segera menghubungi perancang perkahwinan untuk berbincang mengenai penangguhan itu.
“Alhamdulillah, pihak mereka membenarkan kami menunda dan memilih tarikh lain bagi majlis perkahwinan kami, ujar Asyikin.
Jelas Nur Shuhada lagi, dia sangat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga kedua-dua pelah pihak.
“Saya akui agak beremosi dan keberatan menundakan majlis, namun, tunang saya sentiasa memberikan pandangan dan nasihat supaya saya bersabar.
Pada masa sama, Nur Shuhada bagaimanapun mengharapkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dapat mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan akad nikah diadakan.
“Macam sebelum ni JAIS ada beri kebenaran untuk meneruskan nikah dengan mengikut tatacara yang tertentu tapi sekarang ini saya tahu yang JAIS dah tarik balik kenyataan tersebut.
“Saya berharap supaya pihak JAIS pertimbangkan semula perkara ini supaya pasangan sekurang-kurangnya dapat bernikah terlebih dahulu,” ujarnya lagi.
#coronavirus #COVID-19 #JAIS #koronavirus #majlis perkahwinan #pasangan #Pengantin #perkahwinan #tunda
;