COVID-19: Rakyat Britain 'pulun' buat roti, kilang tepung terima tempahan mendadak
Reuters
April 3, 2020 06:15 MYT
April 3, 2020 06:15 MYT
Jika di Malaysia, bekalan roti di kedai sering kehabisan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan (PKP), lain pula ceritanya di Britain.
Restoran dan kedai makanan masih ditutup pada minggu ketiga lockdown, membuatkan ramai yang mula belajar membakar roti buat kali pertama.
BBC Good Food melaporkan kadar kunjungan ke laman web tersebut mula meningkat pada 23 Mac, hari pertama lockdown dilaksanakan.
Ahad lalu, 7.8 juta capaian dicatat dalam sehari, mengatasi rekod capaian pada musim perayaan seperti Krismas, Easter dan Pancake Day.
Carian untuk resipi membuat roti semakin meningkat, dengan capaian video tentang cara pembuatan roti naik hampir 700 peratus dalam tempoh dua minggu yang lalu, kata editor digital BBC Good Food, Lily Barclay.
Kata kunci paling banyak dicari ialah resepi kek, resipi roti, dan resepi roti pisang, menurut Google Trends.
Selebriti termasuk pelawak Stephen Fry dan penyampai ITV, Holly Willoughby juga telah berkongsi foto-foto roti yang dibuat mereka di laman sosial.
Namun, masalah timbul apabila stok bahan ramuan seperti telur dan tepung sukar diperolehi gara-gara pembelian panik.
Kilang tepung tradisional di Britain sudah memaksimumkan operasi demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Sally Craven, pekerja di sebuah kilang tepung yang sudah beroperasi lebih 300 tahun di Leicestershire, berkata permintaan sangat tinggi dan dia mendapat beratus-ratus e-mel yang mahu membuat pesanan setiap jam.
"Saya telah melakukan kerja enam bulan dalam seminggu, saya tidak sangka sampai begini kegilaannya," katanya seperti yang dipetik dari Reuters.
Sebuah lagi kilang di Nottingham pula menerima lebih banyak tempahan dalam tempoh 10 hari sehingga 28 Mac, berbanding tempahan bagi sepanjang tahun 2019.
"Ketika banyak perniagaan berjuang untuk terus beroperasi, peningkatan dalam penjualan tepung telah memberi harapan kepada kami," kata pekerja kilang itu, Jamie Duff.
"Satu-satunya masalah ialah kita tidak boleh memproses tepung dengan pantas," ujarnya.