COVID-19: Ketika atau selepas PKP, seniman jangan berhenti berkarya - Nizam Rahmat

Irwan Muhammad Zain
April 10, 2020 09:14 MYT
Nizam berpendapat penggunaan media sosial merupakan kaedah terbaik buat masa ini dan pasca PKP untuk galeri dan seniman mencapai peminat seni akibat pameran fizikal tidak dapat diadakan. - Gambar fail
Pada 24 Mac lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini akan jatuh dari 4.0 peratus kepada -2.9 peratus dengan hampir 2.4 juta kehilangan pekerjaan.
Manakala anggaran awal Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjuk ke arah peningkatan yang ketara dalam pengangguran dan kurang pekerjaan ketika krisis berlangsung.
Ini semua berlaku gara-gara pandemik COVID-19 yang menjadi musuh tidak nampak dan memusnahkan ekonomi hampir semua negara.
Ketika ini, akibat dari pandemik COVID-19 banyak negara yang membataskan pergerakan rakyatnya malah ada yang mengisytiharkan darurat.
Malaysia tidak terkecuali terkesan akibat pandemik COVID-19 ini hingga kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memastikan rantaian virus ini dapat diputuskan.
Kegusaran tentang merosotnya ekonomi ini bukan hanya dirasai oleh ahli perniagaan tetapi seniman atau artis seni visual juga terkait sama.
Banyak pameran yang dijadualkan sebelum ini telah ditangguhkan ke satu masa yang entah bila dan ada juga yang dibatalkan.
Bukan hanya dalam negara, pameran berprestij seperti Art Basel di Hong Kong dan Art Moments di Jakarta yang dijadualkan pada 17-19 April ini turut mengalami nasib yang sama, ditunda, atau mungkin dibatalkan.
Kini, ketika tempoh PKP atau selpas ini, pameran secara dalam talian merupakan pilihan utama beberapa galeri tempatan atau di luar negara.
Segaris Art Center, sebuah anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd merupakan galeri pertama melakukan pameran dalam talian berjudul NO(W) SHOWING! yang bermula 1 April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Segaris Art Center, Nizam Rahmat memberitahu Astro AWANI, banyak galeri kini terjejas ekoran tidak dapat melakukan pameran fizikal.
Menurut Nizam kesan selepas PKP sudah terbayang dengan senario seni visual tidak akan sama kerana pengumpul karya seni lebih berhati-hati dan selektif dalam membeli karya-karya yang dihasilkan.
"Ini jelas bila mereka (pengumpul karya seni) tidak lagi rancak mencari atau bertanya tentang pameran dan karya-karya yang dihasilkan artis pilihan.
"Bagi kami (Segaris Art Center) selepas ini akan lebih aktif secara atas talian kerana itu sahaja pilihan buat masa ini.
"Dengan cara dalam talian ini, galeri boleh terus membuat pameran dan seniman juga boleh terus berkarya dan menghantar karya mereka untuk dipamer serta dijual," katanya.
Nizam berpendapat penggunaan media sosial merupakan kaedah terbaik buat masa ini dan pasca PKP untuk galeri dan seniman mencapai peminat seni akibat pameran fizikal tidak dapat diadakan.
Untuk itu, Nizam berharap seniman tidak berputus asa dan kecewa hingga tidak lagi menghasilkan karya kerana tidak ada pameran fizikal.
"Saya memohon dan berharap para seniman jangan berhenti berkarya kerana kami selaku galeri komersial walaupun terjejas tetapi tidak akan berhenti mencari idea-idea terbaik bagi membantu seniman untuk terus hidup," katanya lagi.
Berdepan dengan keadaan ekonomi yang dijangka merosot teruk akibat pandemik COVID-19 ini, Nizam berharap kerajaan membantu seniman dan galeri dengan mengeluarkan dana untuk menguruskan atau menjalankan pameran.
"Kerajaan melalui Balai Seni Negara boleh mengenal pasti galeri mana dan seniman mana yang yang layak menerima bantuan sekurang-kurangnya untuk terus aktif berkarya," katanya.
NO(W) SHOWING! anjuran Segaris Art Center masih berlangsung secara atas talian bermula 1 April lalu dengan hampir 50 karya yang dihasilkan oleh 40 artis tempatan.
Sebanyak 10 hingga 20 peratus hasil jualan karya-karya yang dipamerkan akan disumbangkan kepada Tabung COVID-19 bagi membantu mereka yang memerlukan.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 diseluruh dunia telah mencecah 1.5 juta orang dengan jumlah kematian mencecah 88,000.
#atas talian #Balai Seni Negara #dana #karya #media sosial #Nizam Rahmat #pameran #Segaris Art Center #Seni #Seniman
;