COVID-19 belum reda, 'personal shopper' sambung nyawa industri runcit Jakarta
Agensi
Ogos 30, 2020 09:00 MYT
Ogos 30, 2020 09:00 MYT
Tiga pusat beli-belah di Jakarta Selatan memperkenalkan perkhidmatan personal shopper bermula Jumaat lalu sebagai satu usaha menggalakkan kembali industri peruncitan.
Pelanggan boleh memesan barangan dari Kota Kasablanka, Plaza Blok M dan Gandaria City melalui aplikasi WhatsApp.
Pengurus Kanan Kota Kasablanka, Agung Gunawan berkata idea itu muncul susulan permintaan tinggi yang diterima bagi penghantaran menggunakan 'runner' ketika pelaksanaan pembatasan sosial berskala besar (PSBB).
"'Runner' dan pekerja khidmat pelanggan membalas pesanan itu secara peribadi, mengambil barang dan menghantarnya.
"Kami juga mendapat kerjasama Grab Express bagi penghantaran sekitar Jakarta," kata Agung seperti dipetik The Jakarta Post.
Perkhidmatan ini bagaimanapun mempunyai syarat pembelian minimum iaitu di antara Rp200,000 (RM56) dan Rp300,000 (RM85).
“Petugas terbabit akan membantu pelanggan berbelanja dengan mengambil gambar barang sebelum membungkusnya untuk memastikan barang itu betul dan berada dalam keadaan baik," tambah Agung.
Pandemik COVID-19 memaksa beberapa pusat beli-belah menutup sebahagian besar operasi mereka semasa PSBB.
Walaupun pusat beli-belah sudah dibenar beroperasi, peniaga masih bergelut untuk kembali menstabilkan perniagaan kerana orang ramai dilihat belum berani keluar membeli-belah.
Menurut Agung, beberapa penyewa di tiga pusat membeli-belah berkenaan tidak dapat bertahan dan terpaksa ditutup.
"Perkhidmatan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan mereka yang benar-benar ingin membeli-belah tetapi masih takut untuk pergi ke pusat membeli-belah.
"Kami yakin ia akan mendapat sambutan daripada pelanggan," ujarnya.
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !