'Content' dipertikai lagi, Nas Daily buat hal dengan Indonesia pula

Agensi
Februari 23, 2023 13:34 MYT
Nas Daily menyiarkan video di Instagram yang memaparkan Bali dan penduduk berbangsa asing atau berkulit putih. - Facebook / Nas Daily
PEMPENGARUH popular dan vlogger, Nas Daily sekali lagi mencetuskan kontroversi di Asia Tenggara minggu lalu apabila menggelarkan Bali, Indonesia sebagai 'pulau paling putih' di Asia.
Personaliti berbangsa Arab-Israel dengan nama sebenarnya Nuseir Yassin itu menyiarkan video tersebut di Instagram yang memaparkan Bali dan penduduk berbangsa asing atau berkulit putih.
“Saya tidak pernah melihat situasi seperti ini. Nampaknya ramai pelancong Barat datang untuk tinggal di Bali. Kenapa? Sekarang saya menemui jawapannya!" tulisnya pada kapsyen.
Video berdurasi 1 minit dan 30 saat bermula dengan dia menonjolkan penduduk kulit putih di Bali, menekankan bagaimana mereka ada di segenap pelosok pulau itu.
Nuseir kemudiannya berkongsi beberapa sebab mengapa pulau itu dipilih sebagai rumah baharu masyarakat kulit putih, iaitu keindahan alam semula jadi, keramahan masyarakat Indonesia dan kos hidup berpatutan.
Dari satu sudut, ia seperti tiada masalah memandangkan Bali memang menjadi destinasi kegemaran ramai pelancong asing dari Eropah dan Australia, namun dari sisi lain, cara mempromosi seperti itu sebenarnya menjadi gambaran lain tentang isu kritikal yang dihadapi penduduk tempatan.
Pengguna Instagram meluahkan kemarahan mereka di ruangan komen, dengan seorang pengguna menyatakan video itu menyerlahkan gentrifikasi.
“Saya suka kandungan anda tetapi saya mempunyai sedikit masalah dengan (kandungan) ini. Bukankah perpindahan ‘orang putih’ ini memberi kesan kepada penduduk tempatan? Ia nampaknya seperti video yang bercakap tentang gentrifikasi tanpa cara menanganinya,” tulis pengguna Instagram itu.
“Mula-mula saya fikir ia satira, kemudian saya menjangkakan ada plot twist, dan sekarang saya kecewa kerana anda tidak menyebut sebarang aspek kritikal tentang pelancongan di Bali.
"Adakah anda sebenarnya mahu mengatakan semuanya mampu dimiliki oleh pelancong kulit putih? Pernahkah anda berfikir mengapa? Malangnya Bali adalah contoh sempurna ketidaksamaan dan bagaimana orang kaya hidup dan menikmati kehidupan mereka dengan mengorbankan orang lain, dalam kes ini, orang Bali tempatan yang perlu bekerja keras hanya untuk menampung keperluan kehidupan seharian," kata seorang pengguna lain.
Manakala beberapa pengguna lain membangkitkan isu visa dan berharap golongan itu berada di Bali dengan visa yang sah.
Sebelum ini ada beberapa laporan tentang helah pelancong asing yang terbongkar. Pada mulanya mereka datang ke Bali dengan visa pelawat, namun akhirnya mereka tinggal lebih lama dari tempoh yang dibenarkan, malah ada yang membuka perniagaan.
Lebih mencetuskan rasa kurang senang, ada pelancong asing yang memberi 'panduan' bahawa hal itu mudah dilakukan menerusi cara-cara tertentu, termasuk 'berbaik-baik dengan pihak berkuasa'.
Insiden itu membuatkan ramai rakyat Indonesia mengecam tindakan segolongan pelancong asing tersebut yang seolah-olah sengaja melanggar peraturan dan undang-undang republik berkenaan.
Berbeza dengan reaksi masyarakat, pihak berkuasa pelancongan Indonesia bagaimanapun dilaporkan tidak mempunyai masalah dengan video Nuseir itu.
"Saya tidak melihat videonya sebagai fitnah seperti yang dikatakan ramai (netizen).
“Dalam video itu, dia menyanjung Bali, seperti kehijauan Bali. Ini sebenarnya bagus untuk promosi pelancongan Bali,” kata Ketua Agensi Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun kepada portal berita Coconuts.
Nuseir juga nampaknya tidak ambil pusing dengan komen netizen.
"Terima kasih semua atas komen. Saya akan membuat satu lagi video bertajuk ‘Mari kita bercakap tentang bangsa’ dan saya fikir ia akan menjadi perbualan yang hebat untuk kita semua,” katanya.
Ini bukan kali pertama Nuseir menerima kecaman hebat pengguna media sosial. Kandungannya khususnya membabitkan negara Asia Tenggara sering dilihat tidak sensitif dan biadab terhadap penduduk tempatan.
Di Filipina, dia dituduh mengeksploitasi seorang artis tatu berusia 104 tahun dan menggunakan bahasa diskriminasi terhadap masyarakat di negara itu.
Tidak lama selepas itu, dia yang memegang kerakyatan Israel, mencipta kontroversi apabila mendedahkan memasuki Malaysia dengan membeli pasport sebuah negara di kepulauan Caribbean pada harga AS$150,000 (kira-kira RM710,000).
Ramai netizen Singapura juga pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kandungan video yang dihasilkan Nuseir tentang pulau republik itu. Mereka mendakwa Nuseir hanya melebih-lebih memuji Singapura sebagai 'sempurna' namun tidak pernah memahami perkara yang lebih mendalam tentang isu dan cabaran penduduk tempatan.
#Nas Daily #Bali #Indonesia #pelancongan #Malaysia #Filipina
;