Comelnya anak singa dipelihara pemuda Palestin ini!

Astro Awani
November 21, 2020 09:46 MYT
Anak singa itu kini menjadi perhatian jiran setempat yang tidak langsung berasa terancam dengan kehadiran haiwan itu. - Gambar REUTERS
DI atas bumbung sebuah pangsapuri di kota Gaza, Palestin, kelihatan dua ekor singa berkeliaran dan bermain-main di sebalik tangki air, kemudian makan ayam yang disediakan untuk mereka.
Pelik, namun jika mengambil kira keadaan di Gaza yang sentiasa dilanda perang, situasi itu kelihatan luar biasa pada awalnya namun kini menjadi biasa pula.
Begitupun, singa itu bukanlah singa dewasa tapi anak singa berusia 75 hari, Fathy dan Filisteen, yang kini dipelihara seorang pemilik kedai roti.
“Ini adalah hobi saya dan saya sangat rapat dengan mereka. Saya gembira memiliki dua ekor singa ini.
“Saya harap satu hari nanti saya akan memilliki zoo sendiri,” kata pemilik singa itu, Naseem Abu Jamea, 27 tahun, seperti dilaporkan Reuters.
Menurutnya, dia mendapatkan haiwan itu dari zoo tempatan namun tidak pula berkongsikan keterangan lanjut.
“Apabila anda membesarkan mereka dengan kasih sayang, keharmonian akan lahir antara anda dan mereka tidak akan menyakiti anda,” ujarnya.
Begitupun, seorang doktor haiwan, Amir Khalil berkata, dia bimbang dengan nasib anak singa tersebut apabila mendengar berita itu baru-baru ini.
“Saya menasihatkan pihak berkuasa Gaza untuk mengambil haiwan itu,” katanya.
Ujarnya: “Pada usia enam bulan, seekor singa menjadi lebih berbahaya kerana ukurannya semakin besar dan ototnya menjadi lebih kuat.
“Membesarkan haiwan itu di rumah menjejaskan kesihatan mereka, makanan dan rawatan perubatan mungkin tidak mencukupi yang akhirnya akan mengganggu kesihatan mereka terutama otot, sendi dan tulang.”
Ditanya mengenai anak singa itu, Hassan Azzam, Pengarah Perkhidmatan Veterinar di Kementerian Pertanian Gaza berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan tetapi mereka akan menyiasat perkara itu.
“Undang-undang Palestin tidak mengizinkan memelihara binatang liar di rumah,” katanya kepada Reuters.
“Haiwan liar mesti dipelihara di zoo yang betul.”
Begitupun, jiran yang hari-hari melihat anak singa itu mengakui mereka tiada masalah dengannya.
“Saya tidak takut. Sebaliknya, kami bangga mempunyai singa di kawasan kami,” kata Wissam Al-Qarra.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !

#Palestin #singa #anak singa #Gaza #perang #kesihatan #undang-undang #perubatan #bela haiwan #zoo #zoo tempatan #Penduduk #haiwan liar #jinak #comel #santai hujung minggu
;