Civita, bandar mati di Itali, impi pengiktirafan UNESCO

Reuters
April 11, 2021 15:58 MYT
Seorang kanak-kanak berlari ke arah pintu masuk bandar Civita di Bagnoregio. - REUTERS/ Guglielmo Mangiapane
CIVITA DI BAGNOREGIO: Gelaran 'bandar mati' secara asasnya bukanlah istilah terbaik untuk menarik pelancong, tetapi tidak bagi bandar di Itali bernama Civita di Bagnoregio.
Percaya atau tidak, bandar yang terletak 126 kilometer di utara Rom itu, hanya dihuni tidak sampai 20 orang.
Bandar berkenaan yang turut terkenal dengan gelaran 'tanah tandus', kini dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Wakil datuk bandar, Roberto Pomi, memaklumkan Itali telah mengemukakan cadangan menjadikan bandar itu sebagai tapak warisan pada bulan Januari lalu dan berharap UNESCO dapat memberi kata putus selewatnya bulan Jun tahun depan.
Beberapa abad yang lalu, Civita merupakan bandar besar yang sentiasa sibuk dengan hiruk-pikuk kehidupan.
Tetapi bencana alam yang kerap melanda, seperti tanah runtuh, gempa bumi, retakan dan hakisan membuatkan ia ditinggalkan, dan kini menjadi bandar sepi yang tidak dipedulikan biarpun kaya keindahan tersendiri.
Apabila musim sejuk melanda, Civita kelihatan seperti istana terapung di udara. Pada hari yang cerah, bukitnya kelihatan seperti potongan kek lapis.
Civita merupakan lokasi impian ahli geologi seluruh dunia, dengan tanah runtuh besar yang berlaku pada tahun 1114 yang masih menjadi topik kajian sehingga hari ini.
"Selama 3,000 tahun hakisan regresif berlaku, Civita kini hanya tinggal sisa, hanya dataran dan beberapa jalan di sekitarnya," kata Luca Costantini, 49, seorang ahli geologi yang merupakan sebahagian daripada anggota projek yang memantau dan melambatkan hakisan.
Stefano Lucarini, 29, membeli sebuah restoran di Civita pada Mac tahun lalu, beberapa hari sebelum perintah berkurung susulan COVID-19 dilaksanakan.
"Waktu yang salah. Tetapi saya optimis bandar ini dapat kembali bangkit.
"Risiko alam sekitar membimbangkan tetapi kami berharap orang ramai masih terus dapat menikmati keistimewaan bandar ini untuk satu tempoh yang lama," katanya.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Civita di Bagnoregio #Itali #Unesco #gempa bumi #tanah runtuh #COVID-19 #pelancong
;