Cikgu Cheah kumpul kain telekung, cuci, seterika dan hantar semula ke surau

Faris Danial Razi
Februari 14, 2020 20:42 MYT
Cikgu Cheah Li Na menjalani program tersebut pada minggu kedua dan minggu keempat setiap bulan dengan menghantar telekung yang sudah dibersihkan ke surau-surau di Hospital Seri Manjung. - Facebook
BUKAN menjadi suatu perkara asing, khususnya di negara ini, apabila terdapat kisah masyarakat melakukan amal kebajikan kepada mereka yang mempunyai anutan agama berbeza.
Ini kerana, Malaysia menjadi satu contoh negara yang lazim dianjurkan aktiviti kesukarelawanan bagi satu program amal tanpa mengira latar bangsa, agama dan kepercayaan.
Rutin yang sudah diamalkan sejak beberapa tahun lalu oleh seorang guru berbangsa Cina ini, pastinya boleh menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Cikgu Cheah Li Na yang mengajar di Kolej Vokasional Seri Manjung, Perak sanggup menolak tepi kesibukan hariannya sebagai tenaga pengajar dengan menyertai Program Telekung KV Seri Manjung bersama Hospital Seri Manjung.
Beliau yang menjalani program tersebut pada minggu kedua dan keempat setiap bulan, menghantar telekung yang sudah dibersihkan ke surau-surau di Hospital Seri Manjung.
Cikgu Cheah selalunya akan mengumpul telekung yang telah kotor untuk dicuci terlebih dahulu.
Selepas dicuci, telekung dalam kuantiti belasan helai tersebut akan diseterika dan dilipat sebelum dihantar semula ke surau untuk kegunaan orang awam.
Bagaimanapun, beliau bukanlah keseorangan kerana turut dibantu oleh pensyarah, staf serta beberapa sukarelawan dari kalangan pelajar kolej untuk melakukan penghantaran telekung berkenaan ke hospital.
Menerusi catatan Facebook, Li Na Cheah, kerja komuniti yang telah dijalankan oleh kumpulannya itu mencerminkan sikap kesukarelawanan yang tidak mementingkan diri sendiri.
“Apabila bersama-sama menjalankan kerja seperti ini, kami bukan sahaja bekerja tanpa dibayar, malah melakukannya tanpa keuntungan peribadi melainkan berasa puas hati.
“Juga rasa bersyukur kerana diberi peluang melaksanakan kerja- kerja amal untuk membantu orang lain,” jelas Cheah di Facebooknya.
Tambahnya, tugas-tugas menghantar telekung, membersih, mencuci, seterika, melipat, membungkus dan mengumpul telekung yang telah kotor sudah menjadi kebiasaan untuknya.
Sebelum ini, pihak Hospital Seri Manjung pernah menyampaikan sijil dan piala penghargaan jasa bakti kepada Team Projek Telekung pada bulan April 2019.
#Cikgu Li Na Cheah #Cina #Facebook #kain telekung #Kolej Vokasional Seri Manjung #manjung #pelajar #surau
;