China realisasikan Akademi Shaolin Soccer
Madiha Abdullah
November 13, 2015 11:08 MYT
November 13, 2015 11:08 MYT
MAJORITI daripada kita pastinya tahu tentang filem, Shaolin Soccer.
Jika sekalipun tidak pernah menonton filem itu, namun jenama Shaolin Soccer yang membawa stail permainan bola sepak yang digabungkan dengan seni kung fu, pastinya bukan sesuatu yang asing.
Percaya atau tidak, China bakal merealisasikan stail yang diinspirasikan oleh Stephen Chow tersebut. Sekolah Seni Mempertahankan Diri Shaolin Tagou di daerah Henan telah membuka sebuah akademi yang dinamakan Akademi Shaolin Soccer yang menggabungkan permainan bola sepak dengan kung fu.
Dibuka 10 November lalu, akademi itu hanya menerima sekitar 100 orang pelajar berusia dalam lingkungan 10 hingga 12.
Pelajar yang dipilih akan didedahkan dengan skil bola sepak dan kung fu, yang membabitkan elemen-elemen seperti fleksibiliti, stamina, keseimbangan dan meditasi.
Pegawai Biro Sukan daerah Henan, Zhang Wenshen, dalam laporan South China Morning Post memberitahu, akademi itu diharap dapat membantu menaikkan kualiti bola sepak di China, selain turut dapat mempromosikan seni mempertahankan diri yang menjadi tradisi di negara tersebut.