Chef pastri Malaysia juara dunia

Madiha Abdullah
Januari 31, 2019 10:00 MYT
Chef dari Malaysia melakar sejarah mengalahkan 21 chef lain dari seluruh dunia selepas juadah pencuci mulut bertemakan coklat dan buah-buahan ciptaan mereka menjadi pilihan juri. - Facebook Coupe du Monde de la P"tisserie
MALAYSIA sememangnya juara perihal makanan.
Empat chef pastri muda tempatan membuktikan ada sebab mengapa negara ini layak digelar syurga makanan.
Keempat-empat mereka. Chef Patrick Siau, yang juga jurulatih, Chef Tan Wei Loon, Chef Otto Tay dan Chef Loi Ming Ai, bertanding pada acara World Pastry Cup selepas memenangi Asia Pastry Cup, pada April tahun lepas.
Dalam peringkat akhir pada Isnin lalu, mereka mengalahkan 21 chef lain dari seluruh dunia, dengan beberapa juadah pencuci mulut bertemakan coklat dan buah-buahan.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi peserta dari Jepun dan Itali.
World Pastry Cup merupakan acara antarabangsa yang diadakan setiap dua tahun di Lyon, Perancis. Edisi tahun ini merupakan edisi ke 30 penganjurannya.
Ia diadakan untuk mengenal pasti bakat pastri muda terbaik dari seluruh dunia, dengan proses pemilihan yang melibatkan lebih daripada 50 pusingan kebangsaan dan empat peringkat pemilihan di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin.
#chef #juadah #Lyon #makanan #pastri #pencuci mulut #World Pastry Cup
;