Cetakan seni Jepun yang mengubah kesenian global, kini dipamerkan di Malaysia

Bernama
Februari 4, 2022 03:00 MYT
Pameran itu memaparkan ekspresi cetakan dari 1970-an seperti dalam karya 14 artis yang membantu mengembangkan gerakan percetakan dunia seni kontemporari Jepun sejak 1970-an. - Facebook / The Japan Foundation Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Penggemar seni berpeluang menikmati hasil cetakan seni Jepun era 1970-an yang mengubah pemandangan seni global, menerusi pameran yang berlangsung di Aras 5, GMBB, Kuala Lumpur yang bermula pada 17 Januari lepas dan akan berakhir pada 27 Februari ini.
"Pameran itu memaparkan ekspresi cetakan dari 1970-an seperti dalam karya 14 artis yang membantu mengembangkan gerakan percetakan dunia seni kontemporari Jepun sejak 1970-an," kata Yayasan Jepun di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.
Pameran itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu "The Age of Photographic Images," (Imej Fotografi Masa) memfokuskan penggunaan imej fotografi dalam media cetak dan "Images of Autonomous Matter" (Imej Bahan Berautonomi) yang mempamerkan karya diperbuat menggunakan bahan seperti batu, kayu, kertas, kapas dan kepingan keluli, menurut kenyataan itu.
"Kesenian ini dicetuskan Tetsuya Noda, penerima Hadiah Utama Antarabangsa, edisi keenam Pameran Cetakan Dwitahunan Antarabangsa, pada 1968.
"Hasil tangan Noda mengubah potret fotografi keluarganya kepada cetakan membawa perubahan besar kepada dunia, mewujudkan persamaan antara trend dalam cetakan dan kesenian kontemporari, sambil memberi inspirasi dalam perkembangan masa depan bidang seni," tambah kenyataan itu.
Masuk adalah percuma dan untuk maklumat lanjut boleh layari laman web: https://www.jfkl.org.my/events/japanese-prints-1970/.
-- BERNAMA
#Jepun #kesenian #pameran #seni global