#CES2018: Telefon pintar pertama guna pengimbas cap jari pada skrin
Ian Johan Ariff
Januari 10, 2018 17:01 MYT
Januari 10, 2018 17:01 MYT
Kalau bulan lepas, Synaptics mengumumkan 70 juta unit pengimbas cap jari pada skrin sedia untuk dibekalkan tahun ini, semalam Vivo memperlihatkan telefon pintar yang sedia menggunakan teknologi itu.
Vivo mempamerkan teknologi tersebut yang digunakan buat pertama kali pada sebuah telefon pintar sebenar di pameran teknologi CES 2018 di Las Vegas.
Pengenalan ini adalah lanjutan daripada pengumuman Synaptics sebagai rakan kongsi Vivo untuk menggunakan pengimbas cap jari pada skrin yang dikenali sebagai Clear ID.
Perkembangan kerjasama dengan Synaptics itu adalah satu yang mengejutkan, memandangkan Vivo mengumumkan kerjasama dengan Qualcomm dan memperlihatkan protaip pengimbas cap jari dalam skrin di Shanghai tahun lepas.
Teknologi ini menjanjikan pengalaman baharu buat pengguna yang menggunakan pengimbas cap jari di bahagian depan tanpa sebarang pengimbas fizikal.
Ia juga berita baik kepada pengguna yang lebih gemar menggunakan pengimbas cap jari di bahagian depan yang kini tiada pada telefon pintar berskrin penuh.