Cermin sisi motosikal 'besar gedabak' Siti Aminah curi tumpuan
Sinar Harian
Januari 18, 2024 12:00 MYT
Januari 18, 2024 12:00 MYT
SEREMBAN: Jika ada sebahagian pemilik motosikal memilih menukar saiz cermin sisi dan nombor plat yang lebih kecil kerana dikatakan kelihatan lebih bergaya, lain pula dengan seorang pemilik di daerah ini.
Siti Aminah Abdullah, 49, memasang cermin sisi dan nombor plat lori satu tan pada motosikal Yamaha Ego S miliknya.
Disebabkan itu dia sering menjadi perhatian ramai, malah aksinya menunggang motosikal tersebut turut tular baru-baru ini.
Menurutnya, dia membeli motosikal terpakai tersebut pada 2010 dengan harga RM4,500 untuk memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja.
"Masa awal itu, cermin dan nombor plat motosikal ini saiz standard saja, tetapi selepas setahun menggunakannya suami bagi cadangan tukar kepada saiz yang lebih besar.
"Dia kata nak beli motosikal besar tak mampu, yang mampu tukar cermin sisi dan nombor plat besar saja," katanya secara berseloroh ketika ditemui di rumahnya di Rasah di sini pada Rabu.
Apa yang menariknya, cermin sisi tersebut menggunakan cermin sisi lori satu tan yang diubah suai oleh suami Siti Aminah sendiri manakala nombor plat tersebut ditempahnya sebelum dipasang sendiri.
Dia mengakui pada awalnya sedikit malu apabila ramai yang memandangnya pelik, namun kini ia sudah dianggap biasa.
"Kadang-kadang kalau berhenti di lampu isyarat ada yang tanya cermin itu beli dekat mana dan ada juga komen kata kenapa tak pasang cermin bas je.
"Tak kisah lah apa yang orang nak kata pun saya dah lali semua itu. Ada juga yang nak bergambar dengan motosikal saya kerana mereka kata unik," katanya yang merupakan seorang peniaga.
Tambahnya, dia bukan sengaja mahu mencari publisiti memasang cermin sisi dan nombor plat bersaiz lebih besar berbanding biasa, tetapi untuk keselesaannya di jalan raya.
Malah katanya, pemandangannya juga menjadi lebih luas ketika menunggang motosikal dan lebih selamat.
"Kalau lalu sekatan jalan raya itu saya dah biasa kena tahan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan atau polis kerana mereka tertarik dengan cermin sisi dan nombor plat motosikal saya.
"Yang saya tahu kali pertama video saya menunggang motosikal tular pada September tahun lalu dan baru-baru ini tular semula," katanya. - Sinar Harian