Cerita pasal kopi di 'Pasar Kopi Sehari' jadi tarikan di Alor Setar
Astro Awani
September 26, 2021 11:01 MYT
September 26, 2021 11:01 MYT
BERMULA dengan minat untuk bercerita mengenai kopi dengan pelanggan, sekumpulan anak muda memulakan jualan santai 'specialty coffee' di 'pop-up booth' di hadapan sebuah kafe di pusat bandar Alor Setar, beberapa bulan lalu.
Ia bukanlah gerai jualan tetap, sebaliknya berkonsepkan acara ringkas dinamakan 'Pasar Kopi Sehari' yang diadakan beberapa kali sebulan terutama pada hujung minggu, dengan turut disertai rakan yang menjual hasil seni dan kraftangan.
Konsep dibawa mereka yang kebanyakan bekerja sebagai 'barista' ini unik - sambil menjual kopi berasaskan espreso dan 'pour over', sambil mereka berkongsi pengetahuan mengenai kopi.
Ia kemudian mendapat perhatian masyarakat terutama penggemar kopi di sekitar Alor Setar, malah menarik minat pemilik beberapa kafe untuk bekerjasama dengan mereka.
Wakil kumpulan itu, Nur Muhammad Al-Mustaqeem, 23, berkata sejak kebelakangan ini mereka menerima banyak jemputan untuk membuka Pasar Kopi Sehari di kawasan tertentu untuk memeriahkan suasana.
"Konsep kami mudah, kami peminat kopi, bekerja menjual kopi dan mahu bercerita mengenai kopi dengan pelanggan. Tapi untuk bercerita pada hari biasa ketika bekerja, mungkin ada kekangan masa.
"Jadi kami anjurkan Pasar Kopi Sehari di mana kami boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai kopi dengan orang ramai.
"Pelanggan boleh bertanya apa saja mengenai kopi dan kami akan cuba menjawabnya. Antara yang sering ditanya adalah mengenai pelbagai jenis biji kopi serta kaedah menghasilkan kopi," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Katanya, mereka biasanya menghebahkan mengenai penganjuran Pasar Kopi Sehari beberapa hari sebelum acara berlangsung di media sosial dan kerap mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, baru-baru ini mereka mengadakan Pasar Kopi Sehari di Jeti Pekan Cina, Alor Setar, sempena Hari Malaysia, yang mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan golongan muda yang sudah menjadi pengikut acara berkenaan.
"Kami akan meneruskan Pasar Kopi Sehari dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi menarik di Alor Setar dan berhasrat mengadakannya di negeri atau tempat lain pada masa depan," katanya.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!