Cerita di sebalik sembilan 'nyawa' kucing
Agensi
September 19, 2021 15:00 MYT
September 19, 2021 15:00 MYT
KITA kerap mendengar frasa 'kucing mempunyai sembilan nyawa', gara-gara keistimewaannya yang sering terselamat dalam sebarang kecelakaan.
Namun sejauh mana kebenarannya dan mengapa frasa itu wujud?
Jangan salah faham kerana kucing mempunyai satu nyawa seperti makhluk hidup yang lain juga.
Walau bagaimanapun, kucing mungkin merupakan haiwan peliharaan yang paling pandai berdikari apabila hidup di luar.
Ini kerana beberapa aspek dalam anatomi kucing:
- Kucing mempunyai permukaan badan yang besar berbanding dengan berat badan sekaligus mengurangkan daya hentakan apabila terjatuh
- Kucing biasa memanjat dan boleh menyesuaikan diri apabila jatuh dari satu ketinggian
- Kucing mempunyai righting reflex yang membolehkan badan dipusing dan mendarat dengan selamat menggunakan kaki
- Kucing mempunyai fleksibiliti pada tulang dan ligamen, yang membantu mengelakkan kecederaan parah
Mengapa sembilan nyawa?
Mitos mengatakan kucing mempunyai banyak nyawa terdapat dalam pelbagai kepercayaan, namun jumlahnya berbeza mengikut budaya.
Di wilayah tertentu di Sepanyol kucing dipercayai mempunyai tujuh nyawa, sementara legenda Turki dan Arab mengatakan kucing mempunyai enam nyawa.
Orang Yunani kuno pula percaya angka sembilan merujuk kepada triniti dan angka ghaib yang menerapkan tradisi dan agama.
Kucing boleh cheat death?
Kucing sangat pintar dan intuitif. Mereka mempunyai refleks sepantas kilat, kemahiran membuat keputusan cepat dan ketangkasan yang luar biasa.
Walau bagaimanapun, kucing tetap makhluk Tuhan sama seperti manusia, dan akan mati jika masanya sudah sampai.
Sebagai pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab, anda tidak boleh lalai dan perlu sentiasa memantau serta memerhatikan si comel anda.
Jangan terpedaya, kerana kucing hanya ada satu nyawa, dan tidak ada galang gantinya.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !