Cegah Zika: Amal petua lama halau nyamuk

Bernama
September 2, 2016 23:56 MYT
Antara petua lama yang paling kerap dilakukan untuk menghalau nyamuk adalah dengan membakar sabut. - Gambar hiasan
BAHAN dapur boleh menjadi sumber alternatif yang mungkin boleh diamalkan untuk menghalau nyamuk ketika negara kini berdepan penularan penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan Zika.
Berdasarkan carian dalam internet, terdapat pelbagai bahan semula jadi digunakan untuk menghalau nyamuk terutamanya di kawasan kediaman, termasuk petua lama menggunakan serai wangi, menanam pokok jeremin (halau nyamuk) mahupun petua mudah dengan mencucuk bunga cengkih pada limau nipis.
Guna limau nipis dan cengkih
Berkongsi tips menghalau nyamuk, Noraini Jamsit, 53, berkata sudah lebih 50 tahun keluarganya mengamalkan petua menggunakan limau nipis dan bunga cengkih untuk menghalau nyamuk.
Katanya amalan turun temurun itu jelas berkesan kerana kediamannya bebas daripada nyamuk dan lalat sejak ia diamalkan.
BACA: Virus Zika ditemui di Malaysia pada 1969 - Pengkaji
BACA: Epidemik Zika di Malaysia boleh menjadi lebih serius dari Singapura - Pakar
BACA: Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu
BACA: Zika dan seks, ini fakta yang perlu anda tahu
Beliau yang tinggal di Palong 13, Negeri Sembilan, berkata dia tidak perlu menggunakan kelambu atau sebarang semburan bahan kimia untuk mengelak daripada gigitan nyamuk.
"Selain bahan-bahannya senang diperoleh, cara ini juga menjimatkan perbelanjaan dan aromanya cukup menenangkan," katanya kepada Bernama.

Guna sabut kelapa
Bagi Rukiah Rahmat, 80, beliau menggunakan cara yang berbeza untuk menghalau nyamuk iaitu membakar sabut kelapa pada waktu senja.
"Pukul 6 petang saya sudah mula kumpul sabut kelapa dan bakar di bawah rumah. Asap daripada bara sabut kelapa yang dibakar boleh menghalau nyamuk," katanya yang pernah mengamalkan cara itu ketika tinggal di Kampung Tambak Bugis, Melaka.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Parasitologi dan Entomologi Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Roslaini Abd Majid berkata tiada bukti saintifik yang membuktikan keberkesanan petua-petua lama itu untuk menghalau nyamuk setakat ini.
"Cuma saya rasa aroma yang kuat daripada penggunaan bahan-bahan semulajadi seperti serai wangi, pokok jeremin dan bunga cengkih mungkin menjadi faktor penghalang kepada gigitan nyamuk," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada Khamis, Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia merekodkan kes pertama apabila seorang wanita berusia 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang, Selangor positif dijangkiti virus Zika, dan disyaki mendapat gejala itu semasa berkunjung ke Singapura.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Chong Chee Kheong berkata pesakit yang dijangkiti Zika akan dirawat menggunakan kaedah seakan sama untuk merawat denggi memandangkan virus itu disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes.
"Setakat ini tiada ubat khusus untuk Zika namun kita akan merawat simptom yang dihadapi, sebagai contoh jika pesakit itu demam, kita akan beri ubat untuk simptom demam dan memastikan mereka cukup air dan rehat," katanya.

Fokus kepada pencegahan Aedes lebih penting
Beliau berkata masyarakat perlu fokus kepada usaha menghapuskan Aedes bagi membendung penularan virus Zika termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di samping menggunakan bahan penyembur.
Selain itu, elak berada di luar rumah pada awal pagi atau senja, memasang jaring penghalang nyamuk pada tingkap rumah dan memakai baju serta seluar panjang berwarna cerah.
#bakar sabut kelapa #denggi #halau nyamuk #petua lama #pokok jeremin #serai wangi #Zika