Cef hasilkan dompet kulit untuk pendapatan sampingan, dapat sambutan

Bernama
September 18, 2021 13:32 MYT
Mohammad Ridhuan membuat beg tangan kulit lembu bagi mencari pendapatan tambahan untuk kelangsungan hidup berikutan penularan pandemik COVID-19. - Bernama
TANAH MERAH: Sejak empat tahun lalu, makanan barat hasil 'air tangan' Cef Mohammad Ridhuan Seman, di sebuah kafe di bandar ini amat dinantikan pelanggan.
Namun akibat pandemik COVID-19 kafe tempat pemuda berusia 30 tahun itu bekerja turut menerima tempias menyebabkan pemiliknya membuat sistem penggiliran kerja, tidak patah semangat Mohammad Ridhuan mengambil keputusan menghasilkan dompet kulit lembu sebagai pendapatan sampingan.
Bercakap kepada Bernama, Mohammad Ridhuan berkata selain mencari pendapatan sampingan dalam tempoh sukar ini, minatnya terhadap barangan kulit mendorong beliau memberanikan diri menceburi bidang baharu selain daripada kemahirannya di dapur, sejak Mac lepas.
"Saya belajar menjahit beg kulit menerusi beberapa kaedah seperti melihat di YouTube, belajar dengan rakan selain memiliki kemahiran asas reka bentuk ketika belajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
"Pada mulanya saya buat dompet kulit untuk kegunaan sendiri, selepas mencuba nasib dengan memuat naik gambar di Facebook ia mendapat sambutan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Tebu, di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mohammad Ridhuan berkata dia memperoleh bekalan kulit lembu sebagai bahan utama produk jahitannya dari Indonesia.
"Saya hasilkan dompet lelaki dan dompet syiling pelbagai saiz. Beg paling kecil berukuran sembilan sentimeter (cm) manakala saiz paling besar 20cm.
"Setiap satu dompet yang dihasilkan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan bergantung kepada saiz. Sekarang saya mampu menjual lapan hingga 10 dompet sebulan yang dijual pada harga RM45 hingga RM100 setiap satu," kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.
Keputusan Mohammad Ridhuan nyata berbaloi, kini dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
"Pembuatan dompet kulit jahitan tangan kini menjadi pendapatan sampingan saya. Permintaan semakin meningkat namun bekalan kulit lembu dari Indonesia lambat sampai disebabkan itu saya terpaksa membuat giliran tempahan kepada pelanggan," katanya mengakhiri bicara.
-- BERNAMA
#Mohammad Ridhuan Seman #beg kulit #gaya hidup #weekender
;