Catriona Gray definisi Miss Universe sebenar

Syafik Shukri Jalil
Mac 10, 2019 05:30 MYT
Saksikan temu bual mesra bersama Catriona Gray dalam Rupawan AWANI minggu ini.
CANTIK, bijaksana dan tersusun tutur katanya.
Itu ungkapan pertama saat bertemu Miss Universe 2018, Catriona Gray.
Pertemuan yang dirancang di Jakarta, Indonesia diadakan sempena kehadiran wanita cantik ini ke republik itu bagi memeriahkan acara Puteri Indonesia 2019 yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Menerusi sesi wawancara bersama Astro AWANI, Catriona banyak berkongsi mengenai kejayaan dirinya sebagai wanita keempat dari Filipina yang berjaya merangkul gelaran Miss Universe.
Ditanya kembali bagaimana saat pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Bangkok, Thailand Disember tahun lalu, Catriona secara bersahaja menjawab ia diibaratkan seperti satu perjalanan yang indah.
“Bertemu dengan semua peserta yang memiliki peluang sama rata untuk menang adalah sesuatu yang tidak mungkin dilupakan.
"Saya merasakan persaingan pastinya sengit namun saya sudah melengkapkan diri saya dengan persediaan yang rapi,” katanya.
Tambahnya, tekanan turut dirasakan kerana rakyat Filipina amnya sentiasa memberikan sokongan tanpa henti kepada setiap perwakilan yang dihantar untuk mewakili negara.
“Sememangnya besar harapan warga Filipina untuk menyaksikan saya membawa pulang mahkota Miss Universe untuk kali keempat.
"Melepasi peringkat suku akhir, seterusnya mara ke separuh akhir dan menjadi pemenang adalah sesuatu yang didambakan warga Filipina namun sekiranya tidak menang, mereka tetap berada di belakang saya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya lagi.

Pesanan khas Miss Universe 2018 Catriona Gray untuk penonton setia #RupawanAWANI @501Awani Nantikan penampilannya. pic.twitter.com/CjjUodYTcQ

— Syaff Shukri AWANI (@SyaffShukri) March 10, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ditanya adakah menjadi seorang ratu cantik merupakan impiannya sejak kecil, jawapannya tidak.
“Saya tidak pernah menonton pertandingan ratu cantik sejak kecil dan tidak pernah mengimpikan kemenangan namun ibu saya yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk mencuba," kongsinya.
Banyak perkongsian menarik lain yang dikongsikan Catriona, antaranya seperti advokasi yang diperjuangkannya seperti ingin membantu kanak-kanak yang membesar di kawasan kejiranan miskin di Tondo, Manila.
Katanya apa yang ingin diberikan kepada golongan yang memerlukan ini hanyalah kebahagiaan bagi membolehkan mereka merasai nikmat kehidupan yang sebenar.
Ujarnya, selepas kemenangannya di Bangkok tahun lalu, banyak organisasi tampil memberi sumbangan dan bantuan khusus untuk memperjuang nasib kanak-kanak miskin di negaranya.
Jadi ia dilihat sebagai satu perjuangan advokasi yang berjaya diusahakan dan pastinya Catriona mengharapkan agar lebih banyak kebaikan dapat disumbangkannya pada masa akan datang.
Untuk saksikan temu bual penuh bersama Catriona Gray, jangan lupa menonton Rupawan AWANI untuk episod minggu ini pada hari Sabtu jam 11 malam hanya di saluran 501, Astro AWANI dan www.astroawani.com.
#Catriona Gray #Filipina #Indonesia #kanak-kanak miskin #kebajikan #mahkota #Manila #Miss Universe #organisasi #ratu cantik #rupawan awani #wanita
;