Catriona Gray dari Filipina bawa pulang gelaran Miss Universe 2018

Syafik Shukri Jalil
Disember 17, 2018 10:48 MYT
Catriona Gray dimahkotakan sebagai Miss Universe 2018. - Reuters
Menepati ramalan, Catriona Gray, dimahkotakan sebagai Miss Universe 2018.
Ratu cantik dari Filipina itu mengetepikan saingan hebat dari Venezuela dan Afrika Selatan di peringkat Top 3.
Terdahulu lima peserta yang sememangnya sudah dijangka daripada awal melepasi peringkat Top 5 antaranya Puerto Rico, Vietnam, Filipina, Afrika Selatan dan Venezuela.
Edisi kali ini merupakan kemaraan kali pertama peserta dari Vietnam dan semestinya ini merupakan pencapaian membanggakan kerana H' Hen Nie mara sehingga ke Top 5.
Seterusnya kemaraan peserta dari Nepal, Manita Devkota yang mara sehingga ke peringkat Top 10 seterusnya membuktikan hot picks bukanlah sesuatu yang boleh mempengaruhi keputusan juri.
Manita merupakan peserta kedua dari Nepal yang beraksi di pentas Miss Universe.
Menerusi Top 10, peserta dari benua Asia/Afrika dan benua Amerika mengetepikan semua saingan dari benua Eropah yang menonjolkan beberapa peserta bukan pilihan pemerhati sejak pertandingan bermula.
Catriona bersaing bersama 94 peserta dari seluruh dunia dan mula ‘berkampung’ di Bangkok, Thailand sejak November lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Filipina memenangi gelaran Miss Universe adalah pada penganjuran tahun 2015 menerusi penyertaan Pia Wurtzbach. Negara kepulauan di Asia Tenggara itu juga pernah membawa pulang mahkota kemenangan itu pada tahun 1969 (Gloria Diaz) dan pada 1973 (Margarita Moran).
#Bangkok #Catriona Gray #Filipina #Miss Universe #ratu cantik #Thailand
;