Casuarina @ Meru: Destinasi utama penginapan & acara bertaraf antarabangsa di Perak
Amzar Alif
Oktober 3, 2024 17:20 MYT
Oktober 3, 2024 17:20 MYT
IPOH: Hotel Casuarina @ Meru, sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di Bandar Meru Raya, Perak, kini menjadi pilihan utama bagi pengunjung yang mencari pengalaman penginapan yang selesa dan unik.
Dengan sentuhan tradisional tempatan, hotel ini menawarkan lebih daripada sekadar penginapan mewah, menjadikannya destinasi pilihan bagi mereka yang berkunjung ke negeri Perak.
Menurut Pengurus Besar Hotel Casuarina @ Meru, Sabrina Ahmad Tah, hotel ini bukan sahaja menawarkan bilik yang selesa dan makanan yang lazat, tetapi juga dilengkapi dengan pusat konvensyen yang serba lengkap.
"Pihak hotel menawarkan 146 bilik yang sesuai untuk semua golongan, daripada bilik selesa hingga mewah.
"Di hadapan hotel, terdapat Bulatan Sultan Azlan Shah yang menjadi tumpuan pengunjung, terutamanya pada waktu malam. Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan bersama keluarga di sini," katanya.
Selain daripada penginapan, Hotel Casuarina @ Meru turut dikenali kerana pusat konvensyennya yang luas, mampu memuatkan sehingga 2,500 orang dalam satu masa.
Dengan keluasan 23,000 kaki persegi, pusat konvensyen ini sering menjadi pilihan untuk acara berprofil tinggi, termasuk majlis diraja.
“Pelbagai acara bertaraf antarabangsa dan berprofil tinggi telah dianjurkan di Casuarina Convention Centre termasuk 7th World Conference on Islamic Thoughts & Civilization, Kolokium Kajian Tindakan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dan banyak lagi,” ujarnya.
Bagi penggemar makanan, hotel ini menawarkan Set Talam, yang menghidangkan pelbagai juadah istimewa dari 12 daerah di Perak, membolehkan pengunjung menikmati keaslian masakan negeri ini.
Ini menjadikan pengalaman menginap di Hotel Casuarina @ Meru lebih istimewa, terutamanya bagi mereka yang ingin mencuba kelazatan masakan tradisional Perak.
Sempena Tahun Melawat Perak, hotel ini juga memperkenalkan inisiatif unik di mana setiap kakitangannya diberikan nama timangan tradisional seperti "Mak Limah" dan "Pak Meon".
"Kami memperkenalkan ‘Smiley Campaign’ pada awal tahun 2024, sebagai usaha untuk menyemarakkan sikap positif dan mesra pelanggan dalam kalangan kakitangan hotel kami," tambahnya.
Selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, hotel ini turut membangunkan projek ‘urban farming’ atau pertanian bandar, di mana sayur-sayuran yang digunakan dalam masakan dihasilkan secara sendiri oleh hotel.
Langkah ini menyokong amalan lestari serta memastikan kualiti makanan yang disajikan kepada tetamu sentiasa segar dan berkualiti tinggi.
Hotel Casuarina @ Meru menjemput semua untuk datang ke Perak dan merasai sendiri kemesraan layanan masyarakat tempatan di rangkaian Hotel Casuarina.