Cara Mufti Wilayah rai jiran berbangsa Tionghua
Hilal Azmi
Februari 5, 2019 11:01 MYT
Februari 5, 2019 11:01 MYT
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempunyai cara tersendiri dalam meraikan jiran-jirannya yang berbangsa Tionghua menyambut Tahun Baharu Cina.
"Hari ini saya meraikan jiran-jiran saya yang berbangsa Cina dengan kek sempena Tahun Baharu Cina.
"Mungkin ini hanya hadiah tahunan yang kecil, namun saya amat berharap ianya mampu menyumbang sesuatu kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.
"Marilah kita kembali kepada asas yang hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan Adam dan Hawa.
"Zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat perpaduan," katanya dalam entri yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau.
Tambah beliau, kepelbagaian agama dan bangsa sememangnya diraikan dalam Islam selaras dengan kesantunan akhlak Nabi Muhammad SAW yang ditunjukkan baginda.
"Hidup beragama ini sebenarnya indah dan mudah jika kita memahami kehendak agama, juga batasannya. Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa.
"Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan," tambahnya.