Capal Jago seni buatan tangan yang masih diminati
Bernama
April 24, 2021 09:20 MYT
April 24, 2021 09:20 MYT
KEPALA BATAS: Melihat hasil kerja tangannya yang begitu halus dan teliti, tidak hairanlah capal tradisional ataupun selipar kulit buatan tangan untuk kaum Adam dalam masyarakat Melayu masih mendapat tempat di hati peminatnya.
Pemilik Capal Jago, Badril Shahidan Hashim, 40, berkata meskipun berdepan cabaran norma baharu dek pandemik COVID-19 sehingga memberi kesan kepada golongan usahawan, permintaan terhadap capalnya tetap menggalakkan, lebih-lebih lagi menjelangnya sambutan Aidilfitri.
"Kalau ikutkan, bermulanya pandemik tahun lalu permintaan capal telah jatuh 50 peratus.., (permintaan) yang tinggal ialah pelanggan yang sudah biasa menjadikan capal sebagai kelengkapan harian," katanya kepada Bernama ketika ditemui di premis Capal Jago miliknya.
Menurut anak jati Kepala Batas itu, permintaan terhadap capal kembali meningkat menjelang Ramadan dan hingga kini menerima tempahan kira-kira 1,000 pasang daripada pelanggan yang rata-rata ingin menggayakannya pada hari raya.
"Malah, dalam sehari (bulan Ramadan) saya akan cuba menyiapkan kira-kira 25 pasang capal dengan mengambil masa lebih kurang 20 jam sehari bergantung kepada tahap kerumitan dan jenis sesepasang capal itu sendiri," katanya yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang berkenaan.
Menurutnya perkara paling rumit dalam pembuatan capal ialah proses jahitan yang menggunakan tangan sepenuhnya kerana beliau bekerja seorang diri.
"Saya juga bergelut dengan masa kerana perlu siapkan tempahan mengikut masa yang ditetapkan pelanggan, dan ada kala saya hanya dapat tidur empat jam sehari bagi memastikan tempahan siap," katanya yang mewarisi perniagaan itu daripada arwah bapanya Hashim Hassin yang mengusahakan pembuatan capal sejak 1958.
Badril Shahidan berkata, beliau menggunakan kulit lembu dan kerbau yang diimport untuk membuat capalnya selain memanfaatkan bakat seninya dengan melakar corak pada permukaan capal bagi menghasilkan kelainan.
"Saya pernah menerima tempahan daripada pelanggan di Australia yang merupakan pengumpul material kebudayaan dunia yang ingin menjadikan Capal Jago sebahagian daripada koleksinya.
"Tiada apa yang dapat digambarkan ketika itu selain rasa bangga dan terharu apabila masyarakat luar mengagumi hasil kerja tangan yang mencerminkan budaya Melayu untuk dipamerkan kepada dunia luar. Inilah lambang jati diri dan budaya sebenar orang Melayu sejak zaman berzaman yang perlu dihebahkan kepada dunia," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Menurutnya beberapa pemimpin negara juga pernah menjadi pelanggannya, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Katanya beliau menghasilkan empat jenis capal yang dijual pada RM45 hingga RM450 sepasang.
-- BERNAMA
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#capal
#capal jago
#gaya hidup
#fesyen
#tradisi
#badril shahidan hashim
#shm
#weekender
#SantaiHujungMinggu