Capal dan tanjak jadi pilihan di Aidilfitri
Nur Fazlizai Ali
April 10, 2024 11:00 MYT
April 10, 2024 11:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Walaupun kemuncak populariti capal dan tanjak telah menjangkaui zaman, namun, ia masih menjadi pilihan untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri.
Sejak beberapa tahun lalu, pemakaian capal dan tanjak untuk dipadankan dengan baju Melayu juga telah menjadi trend anak muda di Terengganu.
Antara yang memastikan capal dan tanjak digayakan di pagi 1 Syawal ialah Marina Ahmad, 43.
Setiap kali lebaran, Marina akan memastikan suami, tiga anak lelakinya dan dia sendiri mengenakan busana tradisional Melayu khususnya pada hari raya pertama.
Menurut Marina, pemakaian baju tradisional seperti mula diamalkannya sejak sembilan tahun lalu kerana mempunyai nilai sentimental dan keunikan yang tersendiri jika di pakai di zaman ini.
"Lazimnya anak muda lebih gemar untuk memakai pakaian yang lebih moden dan hampir lupa dengan pakaian warisan itu jadi saya terapkan dan amalkan pada keluarga untuk berpakaian seperti ini pada hari raya atau majlis keraian yang lain.
"Pada mulanya hanya suami yang memakainya dan anak-anak mula mengikutinya walaupun masih berada di bangku sekolah rendah, mereka tidak malu untuk menggayakan capal dan tanjak kerana mereka akan kelihatan lebih menyerlah dengan padanan berkenaan,"katanya kepada Astro Awani.
Anak kelahiran Kedah itu berkata, setakat ini suami dan anak-anaknya mempuyai lapan tanjak peribadi untuk digayakan mengikut majlis.
Pendaki negara yang berjaya menawan Gunung Everest pada Ekspedisi Demi Negara Ke Everest 2007 itu mengakui tanjak kini semakin menjadi pilihan anak muda untuk digayakan dengan pelbagai fesyen moden termasuk seluar denim.