Cadang wujud Muzium Boria pamerkan sejarah seni persembahan tradisi Pulau Pinang

Bernama
Ogos 1, 2024 03:45 MYT
Jibran berkata, cadangan itu akan diusulkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat dalam usaha memartabatkan, mempertahankan dan mengekalkan warisan boria daripada terus hilang ditelan zaman. - Foto fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Akademi Boria bercadang untuk mewujudkan sebuah muzium khusus bagi menyimpan segala khazanah dan sejarah berkaitan seni persembahan tradisi yang sinonim dengan Pulau Pinang itu.
Pengarah berkenaan, Datuk Jibran Khalil Sindamadar berkata, cadangan itu akan diusulkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat dalam usaha memartabatkan, mempertahankan dan mengekalkan warisan boria daripada terus hilang ditelan zaman.
Di samping itu, katanya, muzium itu juga mampu dijadikan sebagai antara produk pelancongan, khususnya buat pelancong luar untuk lebih mengenali warisan terdapat di negeri itu termasuk generasi muda supaya mereka tahu tentang asal usul boria yang turut mengalami evolusi selaras peredaran masa.
"Kita tak mampu buat seorang diri, jadi kerjasama dan bantuan daripada semua pihak termasuklah kerajaan negeri amat diperlukan supaya hasrat menubuhkan muzium boria dapat direalisasikan serta saya yakin cadangan ini akan diterima kerana ia boleh menarik kedatangan pelancong sekali gus membantu dalam penjanaan ekonomi negeri disamping memelihara seni warisan yang ada di Pulau Pinang.
"Kita juga perlu kumpulkan bahan berkaitan yang berkemungkinan digunakan penggiat boria terdahulu seperti kostum, peralatan, gambar serta bahan penceritaan sejarah berada dalam simpanan muzium atau perpustakaan negeri," katanya ketika ditemui Bernama.
Jibran menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran 'Datuk' pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Ulang Tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bertempat di Dewan Sri Pinang, di sini, semalam.
Beliau berkata, matlamat untuk menubuhkan muzium itu juga adalah kerana mahu pengkisahan sejarah berkaitan boria dibuat secara lebih tersusun dari awal kedatangannya ke Tanah Melayu hingga kini.
Mengakui boria melalui evolusi dengan dimodenkan dan dikomersialkan dari segi pemakaian, rangkap karangan serta gerak tari, namun beliau berkata ia tidak boleh lari daripada landasan atau hilang identitinya walaupun mengikut peredaran zaman.
"Sebab itu perlu adanya muzium ini supaya orang ramai boleh mendapatkan penjelasan terperinci daripada setiap bahan yang dipamerkan," katanya.
Jibran berkata, penubuhan muzium itu juga bagi memudahkan usaha untuk mengiktiraf seni persembahan boria sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Mengenai anugerah DSPN yang diterima, beliau menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Tun Ahmad Fuzi kerana menghargai penggiat boria sepertinya hingga dikurniakan darjah kebesaran tinggi.
"Ini merupakan kali pertama penggiat boria menerima pengiktirafan yang membawa gelaran 'Datuk'. Apa yang saya terima hari ini menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang dalam memartabatkan boria.
"Selain muzium, saya juga mahu menubuhkan Yayasan Boria yang bukan saja bakal berperanan mengangkat persembahan boria tetapi juga meletakkan ia di persada antarabangsa sebagai seni warisan dunia," katanya.
Pada tahun ini, sebanyak 142 penerima Darjah Kebesaran dan 1,204 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan tersenarai dalam istiadat penganugerahan yang berlangsung empat hari bermula Sabtu lepas, Selasa, semalam dan hari ini.
- BERNAMA
#Muzium Boria #seni tradisi Pulau Pinang #Jibran Khalil Sindamadar #warisan negara