Cabaran Zaiton kemudi pentas Istana Budaya semasa COVID-19

Bernama
Ogos 1, 2020 15:51 MYT
Zaiton berjanji akan meneruskan segala usaha memartabatkan seni persembahan Istana Budaya yang dilaksanakan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang bersara wajib pada 9 Jun lalu. - Bernama
Diberi tanggungjawab ketika negara dilanda pandemik COVID-19 adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi Zaiton Md Desa sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah Istana Budaya yang baharu, pada 1 Julai lepas.
Tambahan pula, dengan pengamalan normal baharu, Zaiton perlu akur dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi setiap persembahan yang akan diadakan di Istana Budaya.
Antara SOP yang diguna pakai Istana Budaya adalah penonton berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia lebih 60 tahun tidak dibenarkan memasuki dewan acara; proses pembasmian kuman dilakukan dua kali sehari sebelum dan selepas pementasan; penganjur perlu mengehadkan masa pementasan iaitu satu jam setengah.
"Ia memang sangat mencabar dan hakikatnya, kita sedang bergelut dengan cabaran yang tidak pernah dialami. Bukan hanya di negara kita, bahkan seluruh dunia turut menghadapi kemelut sama.
"Jadi, apabila membabitkan seluruh dunia, sudah tentu orang akan faham dengan tindakan kita dan masing-masing tahu akan peranan mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Justeru, menyedari kekangan untuk bekerjasama dengan syarikat produksi luar, Zaiton berkata Istana Budaya mengambil inisiatif menerbitkan sendiri program yang bakal dipentaskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Antara program terbitan Istana Budaya ialah Konsert New Normal yang dipentaskan pada 17 dan 18 Julai lepas, Teater Muzik Orkestra Tradisional Malaysia (9 dan 10 Okt), Lambang Sari Series (12 Ogos, 21 Okt dan 11 Nov), Colours Of Malaysia (23 Sept dan 16 Dis) dan Teater Siti Di Alam Fantasi (18 hingga 24 Dis).
"Kita juga sedang berbincang untuk meluaskan kegiatan kepada platform digital. Seperti mana agensi lain, Istana Budaya juga perlu mengikuti perkembangan semasa agar tidak ketinggalan.
"Bahkan, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, artis tari kita sebenarnya terlibat dalam penggambaran untuk ditayangkan secara atas talian yang disiarkan melalui Instagram dan Facebook," katanya.
Bukan setakat itu, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak ini turut berazam untuk meningkatkan martabat seni kesenian tradisional yang semakin dilupakan dan menghidupkannya agar ia tak lapuk ditelan zaman di pentas berprestij itu.
Katanya, usaha ini perlu dilakukan agar peninggalan warisan negara ini, dipertahankan dan dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.
"Banyak kesenian tradisional seperti Mek Mulung dan Makyung semakin dilupakan terutama generasi muda. Saya faham cabaran memang besar untuk menarik golongan muda bersama-sama kita memperjuangkan kesenian dan kebudayaan," katanya menambah warisan seni tradisional menjadi antara daya tarikan utama pelancong ke negara ini yang harus dijaga.
Berpengalaman luas dalam bidang seni dan budaya, Zaiton berjanji akan meneruskan segala usaha memartabatkan seni persembahan Istana Budaya yang dilaksanakan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang bersara wajib pada 9 Jun lalu,
Antara usaha Mohamed Juhari ialah membawa filem popular ke pentas persembahan teater selain memberi peluang kepada nama-nama besar penggiat seni mengadakan konsert solo di Istana Budaya.
"Kini, Istana Budaya sudah semakin dikenali berbanding 20 tahun dahulu," katanya mengakui pendekatan Mohamed Juhari berjaya menarik orang ramai ke Istana Budaya.
-- BERNAMA

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#COVID-19 #Istana Budaya #norma baharu #penjarakan sosial #shm #SOP #Zaiton Md Desa
;