Burasak: Bimbang mati ditelan zaman, pengusaha di Pontian pertahan keunikan menu tradisi
Hilmi Malik
November 13, 2022 13:44 MYT
November 13, 2022 13:44 MYT
PONTIAN: Malaysia sememangnya negara yang kaya dengan kepelbagaian adat dan budaya dan ini juga meliputi bermacam jenis makanan tradisi.
Bercakap mengenai menu yang digelar burasak, bunyinya mungkin agak asing namun tidak bagi penduduk setempat di Pontian, Johor.
Burasak merupakan makanan yang berasaskan beras dan santan selain ia merupakan hidangan wajib buat etnik Bugis di Johor.
Makanan itu merupakan alternatif bagi ketupat, lemang, dan lontong yang sememangnya mendapat permintaan yang tinggi sewaktu musim perayaan.
Menurut pemilik perniagaan Burasak Bahtera Bugis Johor, Mohammad Khazin Ahmad, proses untuk menyiapkan burasak sememangnya diakui agak renyah dan mengambil masa yang agak panjang.
Bahkan pembungkusan burasak juga perlu dipastikan ketelitiannya - dari cara beras ditanak, ke proses membungkus semula dalam beberapa lapisan daun pisang, hinggalah kepada proses merebus semula dalam tempoh yang lama.
Lazimnya, bukan sembarangan daun pisang digunakan. Pucuk daun pisang nipah menjadi piihan kerana ia memberi aroma dan perisa khas ke atas burasak itu sendiri.
“Bungkusan di luar amat penting dan kena balut dengan teliti termasuk juga soal ikatan kerana kita rebus dia lama.
“Proses rebus ambil masa antara 10 hingga 12 jam dan kalau bungkusan terlalu nipis air akan masuk dalamnya, maka burasak akan rosak dan berair.
“Sebab itu saya kata, cara bungkusan main peranan kerana kita cuma perlukan kepanasan sewaktu merebus burasak (bukannya terkena langsung dengan air),” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Jelasnya lagi, burasak yang berasal daripada Indonesia dalam kalangan masyarakat Bugis pada asalnya merupakan menu atau hidangan bagi golongan yang berlayar.
Ini disebabkan faktor ketahanan makanan tradisi itu yang mampu bertahan selama tiga hingga empat hari.
Jika mengikut tradisi, burasak cukup enak dinikmati bersama menu wajibnya iaitu asam pedas ikan parang, daging kicap, rendang daging, dan menu yang terkini adalah ikan terubuk sardin.
Satu bungkusan boleh dinikmati sehingga empat orang bagaimanapun jumlah itu mungkin tidak mencukupi bagi mereka yang penggemarnya.
Dalam pada itu, Mohammad Khazin turut memaklumkan, burasak mendapat permintaan yang tinggi setiap kali musim perayaan malah pernah menerima tempahan sehingga 3,000 bungkus.
Beliau bagaimanapun menyedari akan kesedaran makananan tradisi itu yang semakin mati ditelan zaman maka pihaknya telah mengambil pendekatan untuk memasarkan makanan itu menerusi jualan dalam talian.