Bulan mulia jadi bulan pembaziran!

Faiq Chong
Mei 30, 2018 00:21 MYT
Amalan pembaziran bermula dengan keinginan yang kuat dan tidak mempunyai disiplin yang tinggi untuk mengawal nafsu. - Gambar hiasan.
BULAN Ramadan menuntut umat Islam melaksanakan tanggungjawab rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa.
Ibadah berpuasa pada bulan Ramadan juga mencabar umat Islam dalam mengharungi dugaan melawan nafsu.
Ironinya, bulan yang mengajak kita untuk bersederhana turut menjadi bulan yang mencatatkan paling banyak perbuatan membazir, hinggakan secara tidak langsung menjadi satu 'budaya'.
Siapa setuju, bulan Ramadan ini tanpa kita sedari menjadi bulan untuk berbelanja dengan boros?
Berikut adalah antara perkara-perkara yang menyebabkan kita terjerumus dalam amalan pembaziran ketika bulan Ramadan:
Sanggup mencuba di tempat mahal seperti di hotel
Sepanjang sebulan berpuasa, pasti ada keinginan mencuba juadah di luar rumah untuk berbuka puasa, lebih-lebih lagi mempunyai keinginan untuk berbuka puasa di tempat eksklusif. Paling mewah, berbuka di restoran bufet milik hotel.
Alasan yang diletakkan ialah terdapat bermacam pilihan sajian makanan yang ditawarkan di hotel. Bagaikan berada di syurga makanan ketika berada di restoran bufet, mereka tidak peduli pada harga hidangan bufet Ramadan yang mahal.
Kalau satu kepala sudah melebihi RM80, malah ada hotel yang meletak harga hingga beratus-ratus sekepala. Bagaimana pula yang datang bersama ahli keluarga yang banyak. Apapun nanti jumlah harga yang dibayar, walaupun mampu, pastinya tidak berbaloi dengan kuantiti sebenar yang dapat masuk ke dalam perut!
Gelojoh mencuba macam-macam juadah
Ini menjadi persoalan yang boleh diibaratkan satu kewajipan ketika berpuasa di Ramadan: Nak makan apa nanti bila berbuka?
Jawapan? Nak itu, nak ini, nak macam-macam. Kalau boleh, meja makan penuh dengan juadah sampai tak muat nak letak pinggan untuk berbuka. Bukan tahap melahap tetapi boleh dikatakan nak 'muntah kedarah'.
Situasi gelojoh ini dapat dilihat ketika berada di bazaar Ramadan. Tidak sah kalau kita jadi rambang mata melihat bermacam-macam pilihan hidangan makanan dan minuman yang enak dan menyelerakan. Sehinggalah kita lupa ia membawa kepada amalan pembaziran dari segi kewangan dan keperluan.
Ada pula alasan, oh, semua baki makanan akan dibawa hingga ke sahur nanti. Oh ya? Kalau begitu baguslah. Adakah semua orang melakukan yang sama?
Boros dan lupa kawal diri ketika berbelanja
Kalau dah masuk bab makanan, harga pun akan terlepas pandang, atau buat-buat terlepas pandang. Lebih-lebih lagi bila tiba bulan Ramadan, sudah pasti belanja yang tinggi akan diperuntukkan untuk membeli makanan untuk juadah berbuka.
Hinggakan, falsafah Ramadan yang bukan sahaja menuntut amalan berpuasa iaitu berlapar seperti berjimat cermat tidak diendahkan sama sekali malah sehingga meletakkan kehendak mengatasi keperluan.
Nafsu masih membuak-buak
Memang susah nak mengawal nafsu, lebih-lebih lagi ketika menjelang bulan Ramadan. Lebih-lebih lagi mencuba untuk mengawal nafsu makan. Bila dah bernafsu, mulalah kita bertanya pada diri sendiri, sama ada bertahan atau menuruti sahaja.
Tetapi kalau setakat kawal nafsu makan sahaja memang tak cukup. Bila terleka dengan nafsu berbelanja sehingga lupa untuk merancang perbelanjaan, maka nafsu makan akan kembali datang kerana nafsu berbelanja yang menyebabkan kita tidak mampu menahan untuk beli pelbagai juadah yang beraneka pilihan.
Dari sudut pandang pakar kecergasan diri, sebenarnya kita tidak boleh 'kalah' pada muslihat selera. Mungkin kita berasa lapar kerana seharian berpuasa. Lalu kita memikirkan untuk makan sebanyak yang boleh untuk 'membalas'nya sejurus masuk waktu berbuka.
Tapi pakar diet mengingatkan, adakalanya rasa dahaga itu kita salah terjemah lalu menganggap kita masih lapar. Sedangkan sebenarnya, kita hanya perlu minum dengan secukupnya.
Jika hal ini diberi perhatian, mungkin anda tidak perlu lagi membazirkan duit membeli makanan berlebihan.
Terpedaya kempen 'jualan murah'
Selain daripada hal berkaitan dengan selera dan makanan, umat Islam juga pada bulan ini diuji dengan satu lagi godaan berbelanja!
Ini berkait rapat dengan persiapan menuju penghujung Ramadan, iaitu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam keghairahan menuju Syawal, sudah ramai antara kita yang berkobar-kobar untuk mendapatkan serba-serbi yang baharu - dari pakaian ke aksesori diri, hiasan dan kelengkapan rumah, malah ada pula yang mahu menukar kereta baharu!
Maka berbondong-bondonglah mereka menyerbu jualan murah yang pada hakikatnya dicetuskan bukan untuk menjadi keperluan utama berhari raya, tetapi hanya berpaksikan untung perniagaan semata-mata.
Sama ada ia benar-benar 'jualan murah', berapa peratuskah daripada kita yang betul-betul memeriksa harga dan nilai setiap sesuatu yang dibeli?
Tanpa dikawal nafsu berbelanja, kita pun sanggup mengeluarkan bajet yang tinggi untuk memenuhi keinginan diri dan juga anggota keluarga.
Memanglah kita harus meraikan kejayaan dan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tapi itu tidak semestinya menuntut kita bermewah-mewah ataupun berbelanja di luar batas kemampuan, hanya untuk memenuhi kepuasan.
Sememangnya, umat manusia berperang dengan ‘musuh utama’ yakni nafsu. Bukan sahaja ditentang pada bulan Ramadan tetapi juga pada setiap masa.
Amalan pembaziran nyata merugikan diri, kerana itu ia dianggap amalan syaitan dan ditegah dalam Islam. Oleh itu, semoga berjaya dalam memerangi pembaziran, khususnya di bulan mulia ini!
#Islam #Ramadan #puasa #bazir #boros #iftar #hotel #juadah #ramadan2021
;