Bukan sebarang tat, kenali kuih tat kebanggaan masyarakat Bengkulu
Astro Awani
Februari 23, 2019 13:40 MYT
Februari 23, 2019 13:40 MYT
Mengikut sejarah, masyarakat Bengkulu mula berhijrah ke negara ini dari kawasan Bengkahulu di Sumatera Barat sejak kurun ke 17 hingga 19 lagi.
Masyarakat Bengkulu di Malaysia hari ini kebanyakannya tinggal di beberapa tempat di Selangor seperti Sungai Selisik, Sungai Choh, Sungai Merab selain ramai yang menetap di Behrang, Perak dan juga Gemas di Negeri Sembilan.
Selebriti popular, Erra Fazira salah seorang daripada masyarakat keturunan Bengkulu selain penceramah agama, Datuk Ismail Kamus. Di Indonesia, Megawati Sukarnoputri, presiden kelima republik itu mewarisi darah keturunan Bengkulu daripada ibunya, Fatmawati.
Salah satu tradisi Bengkulu yang masih kekal hingga ke hari ini ialah Tat Bengkulu.
Berintikan kelapa gula merah, kuih tat ini dimasak dengan menggunakan dapur kayu api dan lazimnya berbentuk daun.
Kuih ini memiliki keistimewaan daripada segi tekstur dan masih dihasilkan secara tradisional sekaligus mengekalkan keasliannya.
Salmah Munap, salah seorang daripada pengusaha yang masih lagi aktif menghasilkan tat yang digelar ‘Raja Kuih’ ini.
Beliau mula mengusahakan perniagaan kuih tat bengkulu ini 8 tahun lepas dengan menggunakan dapur arang. Pada ketika itu, beliau dapat menghasilkan 200 biji tat sehari.
Beliau mula teruja untuk serius mengusahakan perniagaan tat bengkulu ini selepas mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Sebenarnya banyak lagi makanan tradisi masyarakat Bengkulu ini. Ada ochong-ochong, paes dan pelbagai lagi. Tapi tat bengkulu ini yang tahan lama dan sesuai untuk dijadikan produk perniagaan,” kata Salmah yang ditemu ramah dalam program Saudara Serumpun di Astro AWANI.
Dahulunya, saiz tat ini ialah sebesar tapak tangan, namun kini, ianya dibuat dalam pelbagai saiz yang bersesuaian.
Enak dihidangkan untuk minum petang dan perayaan, tat Bengkulu ini turut dijadikan hantaran perkahwinan.
Salmah kini menurunkan resipi tradisi ini kepada anaknya yang cukup berminat dengan perniagaan ini.
Anaknya, Nur Atiekah, seorang graduan universiti, beliau teruja meneruskan perusahaan Tat Bengkulu ini dengan memasarkannya di atas talian apabila dapat berkomunikasi dengan masyarakat Bengkulu yang lain di Malaysia dan juga Indonesia.
“Saya bangga jual Tat Bengkulu ini di Facebook saya dapat mengenali saudara mara saya dari pelbagai tempat,” ujar Atiekah.
“Saya berharap peniagaan ini boleh berkembang lagi dan saya nak perkenalkan kuih tat Bengkulu di Sungai Choh ini ke negara luar. Saya nak bukan orang Bengkulu sahaja yang tahu tat ini, saya tak nak warisan ini hilang begitu sahaja.
#Bencoolen
#Bengkulu
#Bulang
#Datuk Ismail Kamus
#Erra Fazira
#Fatmawati
#Megawati Sukarnoputri
#Saudara Serumpun
#Serawai
#Sumatera Barat
#Sungai Choh
#Sungai Merab
#Tat Bengkulu