Bukan lagi 'pesta' bazir makanan dan berlebih-lebih, COVID-19 jadikan Ramadan kali ini yang terbaik

Razak Chik
Mac 29, 2020 20:42 MYT
Tanpa pesta beli-belah dan jamuan selera besar-besaran seperti Ramadan tahun-tahun lalu, inikah peluang menjadikan Ramadan tahun ini terbaik? - Gambar hiasan
RAMADAN bakal muncul tidak beberapa minggu lagi dan umat Islam sudah mula terfikir tentang persiapan untuk menyambut bulan ibadat ini.
Rancangan berbuka iftar, solat jemaah terawih, bacaan tadarus al-Quran and program qiamullail semuanya bakal dibatal kerana tiada sebarang tanda pandemik COVID-19 bakal reda esok mahupun lusa.
Senarai individu, pertubuhan mahupun syarikat menyumbang infaq penganjuran acara iftar dan moreh terpaksa ditinggalkan kosong kerana tiada sebarang petanda majlis akan berjalan seperti biasa.
Industri makanan dan minuman dan perhotelan yang selalunya antara dari awal sudah mengiklan penganjuran majlis iftar juga terbantut persiapan tahun ini.
Penjual pakaian, kuih muih dan perhiasan hari raya yang banyak sudah ditempah kini terlonggok di gudang atau tempat simpanan kerana sudah ada tanda tradisi bazar Ramadan hanya menunggu pengumuman pembatalan.
Mungkin ada yang resah semakin hampir bulan Ramadan, tiada tanda memberi sebarang indikasi pandemik COVID-19 menyerang dunia akan lenyap.
Merata-rata di media sosial terdapat beberapa tampalan memberi kata rangsangan agar tidak menganggap COVID-19 bermakna bulan Ramadan akan 'mati' tahun ini.
Sebaliknya, umat Islam diberi peringatan, bahawa ini peluang keemasan untuk kembali ke matlamat asal dan memahami tujuan sebenar berpuasa.
Lebih-lebih lagi, sambutan bulan puasa selama ini lebih bersifat pesta, di mana pembaziran makanan dan perbelanjaan berlebihan diakui menjadi masalah yang mencemar kemuliaan ibadat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkiflie Al-Bakri memberi semangat agar umat Islam menganggap kekangan bekerja yang dihadapi ini sebagai peluang keemasan untuk membuat ibadat dengan lebih tenang.
"Kita boleh berehat dengan baik. Sekarang kita boleh solat berjemaah bersama keluarga setiap waktu. Sebelum ini mungkin hanya dibuat ketika Ramadan, tapi sekarang boleh beramal dengan banyak dalam tempoh 24 jam," katanya selepas mengimamkan solat hajat COVID-19 baru baru ini.
Negeri Sembilan pula negeri pertama yang mengambil keputusan membatal penganjuran bazar Ramadan memandangkan bahaya penularan COVID-19 yang masih wujud.
Tindakan yang sama diambil Singapura yang turut membatalkan sebarang penganjuran acara penjualan barangan pakaian dan makanan yang akan menarik begitu ramai pengunjung. Ini bermakna kawasan tumpuan orang Melayu seperti Woodlands dan Geylang sepanjang Ramadan tahun ini tidak semeriah tahun tahun lalu.
Sebuah video YouTube bertajuk “Ramadan 2020 Could Be Different” (Ramadan 2020 Bakal Berbeza) menerima sambutan hangat kalangan umat Islam.
Mesej yang diketengahkan berkisar realiti yang wajar diterima dalam kalangan umat Islam kemungkinan Ramadan dan Syawal tahun ini akan disambut dalam keadaan pandemik COVID-19 masih berleluasa.
Umat Islam diseru memikir semula ibadat yang sekian lama menjadi tradisi tetapi tidak menjadi amalan tetap pada zaman Rasullullah SAW.
Ini termasuk menggangap iftar sebagai pesta makanan dan pembaziran. Dengan penutupan masjid, ini sepatutnya memberi peluang sang bapa sebagai ketua keluarga mengimamkan solat terawih di rumah serta mengetuai majlis tadarus.
Terawih dan qiamullail pula wajar dilakukan sepertiga malam dan bukan seperti biasa selepas Isyak. Ini memberi ruang untuk sahur yang sempurna sebelum solat subuh dilakukan sekeluarga berjemaah.
Oleh kerana kini tiada keperluan untuk ke pejabat, masa mencukupi untuk berihat sewaktu di rumah, tanpa menjejaskan produktiviti.
Dengan pendekatan baharu ini, ramai meramalkan Ramadan tahun ini pasti yang terbaik yang pernah dijalani.
#Bazar Ramadan #COVID-19 #iftar #Ramadan #ramadan terbaik #sahur #tadarus #terawih
;