Bukan kami malas berbasikal, tetapi ...
Amirah Nurulain
Mei 31, 2013 07:35 MYT
Mei 31, 2013 07:35 MYT
Melihat warga New York menikmati kemudahan berkongsi basikal menerusi program perkongsian basikal yang dilancarkan oleh Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg Selasa lalu sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemburu di kalangan warga kota yang mencintai kenderaan dua roda itu.
Ramai yang berpendapat tidak mustahil satu hari nanti, Kuala Lumpur juga akan dapat mencapai status yang sama jika dipacu oleh polisi dan peningkatan kesedaran di kalangan pengguna.
Terdapat banyak pandangan yang dikongsikan oleh mereka menerusi laman sosial Facebook Astro AWANI,mengenai cadangan dan alasan mengapa mereka tidak boleh berbasikal di tengah kota.
Menurut Kam Z Zar, “Keadaan jalan raya Malaysia yang tidak mesra basikal, serta cara pemanduan rakyat Malaysia. Ia membahayakan para penunggang basikal.”
MHafis CHeo pula berkata, mentaliti pemandu Malaysia yang tidak prihatin, jalan raya yang tidak mesra basikal dan keadaan cuaca di Malaysia menjadi penghalang.
“Penyediaan laluan khas kepada pengguna basikal dan tahap kesedaran pengguna lain akan kewujudan pengguna basikal di jalan raya antara usaha yang boleh dilakukan untuk menggalakkan penggunaan basikal,” pendapat dikongsi oleh Faiz Hamzi.
Nurizman Saifudin pula mencadangkan penyediaan laluan berbasikal, parkir khas basikal di pejabat, bilik mandi di pejabat dan meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya.
Itu mereka yang di laman sosial, buat mereka yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama, mereka ada alasan sendiri untuk terus berbasikal. Meskipun adakalanya semangat mereka semakin pudar.
Seorang pekerja syarikat elektronik, Muhamad Zakri Chan Abdullah yang telah berbasikal ke tempat kerja selama setahun beliau menjadikan pengurusnya sebagai contoh.
“Perjalanan yang diambil untuk pergi dan pulang dari tempat kerja adalah lebih kurang 14 kilometer.
Saya mengambil inisiatif untuk berbasikal ke tempat kerja kerana kagum terhadap pengurus saya, walaupun mempunyai kereta mewah beliau memilih untuk berbasikal ke tempat kerja.”
“Terdapat juga halangan sewaktu berbasikal seperti masalah untuk pulang lewat malam dan melakukan kerja lebih masa kerana masalah keselamatan dan keadaan jalan raya,” kata Zakri.
“Bagi mereka yang perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja dalam lingkungan 15 kilometer merupakan jarak yang sesuai, sekiranya lebih dari itu agak kurang sesuai,” tambahnya.
Zakri bagaimanapun berhenti berbasikal selepas berkahwin dan berpindah agak jauh dari tempat kerjanya dan mula kembali membawa kereta kerana perlu menghantar isteri dan anak ke tempat kerja dan pusat asuhan, ini akan menyukarkannya sekiranya meneruskan kebiasaan menaiki basikal.
Dia berjanji akan kembali berbasikal setelah anaknya cukup besar dan tidak memerlukannya lagi untuk menghantar ke pusat asuhan.
Seorang lagi yang berbasikal ke tempat kerja, ialah Suzali Fauzi Othman. Dia yang tinggal di Ampang bekerja di sebuah syarikat di Keramat.
“Saya akan berbasikal ke tempat kerja setiap hari. Saya berbasikal tempat kerja kerana kesihatan dan juga sebagai latihan. Saya sukar untuk bersenam, jadi berbasikal ke tempat kerja adalah satu cara untuk saya bersenam. Selain dari itu, saya juga suka bercuti dengan berbasikal,” kata Fauzi.
Berbasikal secara berkumpulan mampu menaikkan semangat
“Jarak perjalanan pergi dan balik adalah sekitar 24 kilometer. Saya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk ke tempat kerja dan dah lebih kurang 3 tahun saya berbasikal ke tempat kerja,” tambahnya.
Ditanya mengenai halangan dan cabaran semasa berbasikal ke tempat kerja, dia menyatakan bahawa tiada sebarang masalah. Kenderaan seperti kereta banyak memberi kerjasama kepada mereka yang berbasikal, cuma motosikal yang bertindak agak agresif.
Seluruh ahli keluarga Fauzi juga aktif berbasikal, isteri dan anak-anaknya sentiasa menyokong aktiviti Fauzi untuk mengembara menaiki basikal dan sentiasa mengikutinya.
Isteri Fauzi juga penah menyuarakan hasrat untuk turut berbasikal ke tempat kerja namun dihalang oleh Fauzi kerana bimbangkan keselamatan dan dirasakannya kurang sesuai.
“Isteri saya pun suka berbasikal, itu sebabnya dia bercadang nak berbasikal ke tempat kerja. Tetapi kerana dia sering pulang lewat, lebih baik dia memandu kereta. Walaubagaimanapun, kami sebenarnya sedang mencari laluan yang tidak begitu sesak dari Ampang ke Kelana Jaya supaya mungkin satu hari nanti dia pun boleh berbasikal ke pejabat,” mengikut Fauzi.
Menurut Mohd Roszaini yang turut aktif berbasikal, beliau akan berbasikal ke tempat kerja bersama rakan-rakan yang tinggal berhampiran. Mereka akan berkumpul seawal 6.30 pagi untuk bergerak ke tempat kerja.
“Tengok keadaan cuaca. Sekiranya awal pagi tak hujan maka janji dengan kawan-kawan berkumpul seperti biasa jam 6.30 pagi.”
Mohd Roszaini keluar seawal 6.30 pagi untuk berbasikal bersama rakan-rakan
“Saya berbasikal kerana kesihatan dan untuk memudahkan pergerakan dalam kawasan tempat kerja yang agak luas,” kata Roszaini lagi.
Dia berkata masalah yang dialaminya ialah sewaktu ingin pulang kerja pada shif lewat malam dan terpaksa menghubungi isterinya untuk menjemputnya.
Itu pandangan mereka, sekurang-kurangnya mereka telah memulakan inisiatif untuk menggunakan basikal sebagai pengangkutan. Anda pula apa alasannya? Kongsi pandangan bersama Astro Awani.