Bukan calang-calang, pemilik restoran di Sarawak hantar makanan guna Ferrari
Rudi Affendi Khalik
April 14, 2020 16:22 MYT
April 14, 2020 16:22 MYT
Pelbagai kaedah digunakan peniaga untuk mempromosikan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.
Seperti kebiasaannya, kebanyakan peniaga memilih melakukan penghantaran makanan atau barangan menggunakan motosikal atau kereta.
Namun di Kuching, seorang pemilik restoran memilih menghantar makanan yang dipesan pelanggannya menggunakan kereta berjenama mewah miliknya, Ferrari F430.
Kenneth Chong yang merupakan pemilik restoran Southbank Grill & Chill berkata, strategi ini digunakan untuk melariskan jualan dan ia diterima baik oleh pelanggannya malah kisahnya menjadi tular di media sosial.
“Saya memilih cara ini kerana ingin menggembirakan semua orang di saat PKP ini, ramai pelanggan yang mahu bergambar dengan kereta saya.
“Saya sangat gembira kerana usaha ini mampu menceriakan pelanggan saya,” kata Kenneth.
Lebih menarik, tempahan makanan yang diterimanya juga semakin meningkat kerana ramai pelanggan mula tertarik dengan kaedah penghantaran tersebut.
“Kereta ini jarang digunakan dan hanya diparkir di rumah, jadi saya merasakan ini waktu yang sesuai dengan menghantar makanan kepada pelanggan menggunakan kereta ini.”
Walaupun kaedah penghantaran menggunakan Ferrari menjadi bualan masyarakat Kuching, Kenneth tetap pastikan aspek kebersihan makanan tetap jadi keutamaan premisnya.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Ferrari F430
#Kuching
#perintah kawalan pergerakan
#Sarawak
#Southbank Grill & Chill