Budayakan gaya hidup aktif, jaga soal kalori dan pemakanan
Astro Awani
Oktober 8, 2016 21:48 MYT
Oktober 8, 2016 21:48 MYT
Lebih daripada 600 warga kerja Kementerian Kesihatan turut serta dalam kempen cara hidup sihat sempena agenda Hari Sukan Negara yang berlangsung di Putrajaya pada Sabtu.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya kempen itu adalah selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.
Ia katanya, bagi memastikan kesedaran kepentingan bersukan sampai ke peringkat akar umbi.
"Dengan cara ini, kita harapkan dua perkara, kita hendak ubah budaya. Budaya sekarang ini, anak-anak muda duduk depan televisyen, duduk depan komputer, jari bergerak tetapi badan tidak bergerak. Jadi ini kita hendak galakkan supaya mereka semua aktif setiap hari.
“Dari segi makanan, memang kita galakkan supaya laki-laki (mengambil sebanyak) 2,000 kalori sehari, manakala wanita 1,800 kalori sehari," ujarnya.
Kempen itu menyaksikan kakitangan Kementerian Kesihatan turut serta dalam pelbagai aktiviti riadah seperti acara 'berjalan 10,000 langkah', zumba dan trampolin.
Mengulas amalan kesihatan di Malaysia, Hilmi menggesa rakyat agar lebih proaktif dalam memantau tahap kesihatan masing-masing.
Beliau berkata, ia bagi membendung peningkatkan penyakit seperti kencing manis dan obesiti yang berada pada tahap membimbangkan.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 3.5 juta orang mengalami kencing manis dan hampir separuh rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol tinggi.