Bubur lambuk 'salted egg' mama, infak sempena Ramadan

Aida Aziz
Mac 17, 2024 11:00 MYT
Bubur lambuk juga tidak ketinggalan melalui pelbagai perubahan dan versi telur masin antara kelainan yang jarang kedengaran. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Bubur lambuk 'salted egg' atau telur masin hasil air tangan Wan Noorashikin Noran sering dinanti-nanti ketika menjelang Ramadan.
Sosok yang mesra disapa sebagai mama berkata, resipi olahannya itu terhasil setelah beberapa kali mencuba pelbagai versi bubur lambuk.
Terciptanya resipi itu juga bertitik tolak daripada peristiwa banjir besar yang melanda negara pada 2012, di samping bermulanya kerja kebajikannya sehingga kini.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Puteri Kebajikan Negeri Perak berkata, bubur lambuk itu disediakan setiap Ramadan dengan dana daripada rakan dan kenalannya.
Kemudian, ia akan diinfak ke lokasi yang bersesuaian, termasuk rumah kebajikan, rumah orang orang tua dan surau.
"Pada 2012 banjir besar berlaku di Kelantan dan Temerloh, ketika itu saya mula saya mulakan kerja kebajikan. Saya ke sana dengan membawa bantuan beras dan barang dapur yang disumbangkan orang ramai.
"Bantuan barangan itu penuh satu gerabak keretapi, bila sampai lokasi bencana, mereka ajak saya buat bubur lambuk dan hidangan lain untuk mangsa banjir," katanya.
Berbalik kepada keunikan bubur lambuk ini, menurutnya, ia diselaputi dengan telur masin yang dipecahkan ke dalam periuk sebelum bubur masak.
"Kalau bulan Ramadan kita gerakkan bantuan barangan dapur dan edar bubur lambuk.
"Selain itu, saya buka infak untuk telekung untuk diletak di surau terpilih. Sejak 2012, sambutan orang ramai untuk projek infak ini sangat baik.
"Kebiasaannya saya akan buka infak atau kutipan dana kepada rakan dan kenalan di status dan kumpulan WhatsApp sahaja, dengan cara itu tiada isu seleweng dana dan sebagainya," katanya ketika ditemui di kediamannya.
Katanya lagi, kerja memasak bubur itu kebiasannya akan dilakukan secara gotong-royong bersama ahli pertubuhannya, kenalan serta jiran tetangga.
Berkongsi resipi bubur lambuk itu, beliau berkata antara bahan utama yang diperlukan seperti beras, daging atau ayam (pilihan daging lebih manis).
Selain itu, udang kering dan ikan bilis (bahan wajib) dikisar, bawang putih, bawang merah, halia, sup bunjut, telur masin, serai, daun pandan, lobak, lada hitam (jika suka), santan dan lobak asin.
"Bubur lambuk banyak versi sebenarnya, mengikut selera masing-masing, saya buat apa yang saya rasa enak dimakan.
"Ada orang letak telur masin yang direbus dan dipotong ketika hidang, tetapi saya masukkan telur masin (kuningnya dipotong kecil) itu dalam masakan sebelum bubur kering.
"Hasilnya ia akan bersalut dengan bubur, sebab itu rasanya lain dan unik juga berlemak," katanya lagi.
#jendela ramadan #bubur lambuk #bubur lambuk salted egg #infak Ramadan
;